Ekonomi

MDEC, Maxis kerjasama sokong syarikat pemula

Maxis dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bekerjasama untuk memupuk inovasi dan penemuan teknologi dalam kalangan syarikat pemula melalui program IdeaKita MDEC.

Menerusi kerjasama itu, Ketua Jenama dan Pemasaran Maxis, Tai Kam Leong dan Ketua Pengguna Maxis, Arjun Varma, telah menyediakan kepakaran mereka sebagai mentor industri untuk membimbing peserta dalam Office Hours Mentoring Sessions di Kem Inovasi IdeaKita MDEC yang berlangsung selama 10 hari itu dari 3 Oktober hingga 31 Oktober.

Maxis dan MDEC dalam satu kenyataan bersama berkata, program IdeaKita adalah sebuah inisiatif Malaysia Digital dan membolehkan inovator dan usahawan untuk memulakan syarikat teknologi mereka sendiri dalam pelbagai industri, sambil menyediakan bimbingan, kesedaran harta intelek, serta pembangunan produk berdaya maju minimum (MVP).

‘Bootcamp’ itu dibahagikan kepada dua bahagia iaitu untuk mereka yang ingin membangunkan syarikat pemula tetapi belum mempunyai idea perniagaan; dan untuk mereka yang sudah mempunyai idea perniagaan dan mencari pengesahan pelanggan dan pasaran, pembangunan MVP, dan mempelajari cara menjual.

“Melalui ‘bootcamp’ ini, inovator dan usahawan mendapat akses kepada mentor industri dan kursus latihan untuk mengesahkan pernyataan masalah, idea, serta model perniagaan untuk dibawa ke pasaran.


“IdeaKita bertujuan untuk memangkin dan mengubah keupayaan dan kapasiti ekosistem digital Negara. Selaras dengan inisiatif Malaysia Digital, matlamat kami adalah untuk mewujudkan dan memupuk 200 syarikat teknologi baharu menjelang akhir tahun ini.

“Bagi mencapai aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebagai hab digital ASEAN, MDEC akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi mempercepatkan penggunaan digital dalam kalangan usahawan muda, sektor perniagaan, dan seluruh rakyat Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz dalam kenyataan sama.

Sementara itu Ketua Pegawai Pemasaran, Maxis, Loh Keh Jiat, berkata pihaknya berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada program IdeaKita MDEC sebagai mentor industri untuk membimbing usahawan teknologi dalam merealisasikan idea serta mengesahkan penyelesaian teknologi yang relevan dengan permintaan pasaran masa kini dan masa depan.

“Kami komited dalam pelaburan kami kepada negara melalui program sedemikian, dan dalam memperkasakan syarikat pemula tempatan untuk membawa inovasi teknologi yang lebih besar ke pasaran,” katanya.

Maxis, tambah beliau, telah lama aktif dalam ruang inovasi, dengan membangunkan beberapa program dengan ekosistem syarikat pemula melalui kerjasama dengan MDEC.

Ia termasuk inisiatif seperti Maxis IoT Challenge, siri SPARK dan Market Access Day.

Sebagai Penyedia Penyelesaian Teknologi di bawah Geran Digitalisasi PKS MDEC, Maxis telah membantu lebih daripada 25,000 PKS menjalani digitalisasi melalui akses kepada pelbagai penyelesaian digital.

(Visited 35 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button