Nasionalpilihan

MBMB akan ambil tindakan

Peniaga buka meja dan meletakkan kerusi di kawasan pasir Pantai Puteri

Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dijangka mengambil tindakan terhadap segelintir peniaga yang masih berdegil membuka meja dan kerusi di kawasan Pantai
Puteri dekat sini minggu depan.

Tuminah Kadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi berkata, tindakan itu terpaksa diambil kerana peniaga tidak mengendahkan peringatan dan nasihat
yang telah diberikan sebelum ini.

Menurutnya, tindakan segelintir peniaga membuka meja dan meletakkan kerusi terlalu banyak hingga menjadikan kawasan pantai sebuah ‘restoran’ telah menjejaskan kedatangan pelancong yang ingin menjalankan aktiviti perkelahan dan perkemahan.

Beliau berkata, tindakan itu menyebabkan kawasan tumpuan pelancong itu menjadi sempit hingga ada pelancong yang datang meninggalkan Pantai Puteri kerana kesukaran mencari tempat perkelahan.

“Saya dah maklum kepada peniaga terbabit pada pertemuan sebelum ini. Saya minta mereka tidak buka meja dan kerusi hingga menutup ruang pelancong yang datang untuk aktiviti perkhemahan.

“Tetapi mereka tetap buka jadikan kawasan pantai macam restoran. Saya terima banyak aduan daripada pelancong yang datang ingin memasang khemah tetapi peniaga
minta mereka berganjak ke tempat lain sebab mereka nak letak kerusi dan meja untuk berniaga.

“Bukan itu sahaja, ada aduan saya terima daripada pelancong yang merunggut kerana kawasan parkir susah disebabkan ada peniaga meletakkan besi khemah dan gerai
jenis kabin di lot parkir yang disediakan MBMB,” ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.

Tuminah berkata, tidak ada kebenaran diberikan kepada peniaga untuk menjadikan kawasan pantai untuk mereka membuka meja dan meletakkan kerusi sesuka hati
sehingga menutup ruang kepada pelancong menjalankan aktiviti perkemahan.

Menurutnya, beliau telah memaklumkan perkara tersebut kepada pihak MBMB dan mereka terpaksa mengambil tindakan sewajarnya.

“Apa yang merisaukan saya apabila tidak ada tindakan penguatkuasaan, nanti lebih ramai peniaga akan ambil kesempatan menjadikan kawasan pantai sebuah ‘restoran’,”
ujarnya.

Jelasnya, jika perkara tersebut tidak dihalang, kawasan Pantai Puteri yang menjadi tarikan pelancong akan terjejas.

Selain itu katanya, pihak MBMB juga dijangka mengambil tindakan terhadap peniaga yang masih berdegil meninggalkan besi khemah dan gerai jenis kabin di kawasan
parkir. – SM

 

(Visited 52,214 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button