Diari AG

Mat Bangla panik salah lokasi

SEMALAM AG cerita tentang pakcik Nepal dan kambing jadi pelanggan Grab. Hari ini AG nak bawa kisah mat-mat Bangladesh (Bangla) pula.

Ceritanya begini. AG bawa dua orang mat Bangla yang baru tiba dari Johor. Datang ke Kuala Lumpur untuk melawat rakan sekampung.

Memang dari awal pertemuan kami, AG dapat rasakan sesuatu yang pelik. Tapi AG buat-buat biasa sahaja. Selalunya mat Bangla bila naik kereta AG, mereka suka duduk di depan. Kalau berdua, seorang di depan, seorang lagi belakang.

Mat Bangla yang AG nak cerita ini pula, dua-dua duduk di belakang. Walaupun ruang kereta AG agak luas juga, mereka tetap duduk rapat-rapat.

AG pun hidupkan enjin kereta dan mula bergerak. Dalam perjalanan, AG buka stesen radio Klasik untuk hiburan petang mat-mat Bangla tersebut.

Oleh sebab di belakang, AG tak dapat nak pantau sangat aktiviti yang berlaku. Cumanya salah seorang daripada mereka nampak gelisah. Sekejap-sekejap dia cuba tunjuk gambar dalam telefonnya – gambar papan tanda tertera nama jalan iaitu lokasi yang hendak dituju.

Usahanya itu AG tak hiraukan sangat.

Ya lah AG fikir dah tentu-tentu dalam aplikasi Grab ada alamat yang sama. Selain tempat pick up atau mengambil penumpang, memang sesiapa yang melanggan Grab mesti mengisi ruang lokasi atau alamat tempat diturunkan.

Lagi pun sekali pandang memang nampak nama jalan dan lokasi dalam telefon mat Bangla tu sama dengan alamat yang diberikan pihak Grab.

Hampir sejam perjalanan menempuh jem dan sebagainya, kami pun tiba di Jalan Bunga Raya, Gombak. AG pula dah berkira-kira nak terus balik.

Mat Bangla tadi terpinga-pinga. Dia kata tempat AG berhenti tak ada papan tanda macam dalam telefon yang dia tunjuk tadi. Selidik punya selidik,
rupa-rupanya mereka nak pergi ke Jalan Bunga Raya, Semenyih, bukan Gombak. Nama jalan memang sama tapi di dua kawasan berbeza!

Sebenarnya ini lah masalah ramai mat Bangla yang langgan Grab. Mereka main tekan je lokasi.

Ada juga AG dapat mat Bangla yang nak pergi Mydin Klang tapi tekan Damansara Utama.

Yang kelakarnya, dia boleh tanya AG, kenapa tambang mahal – selalu RM6 hari ni kena RM31.

Pada rakan-rakan, AG nak pesan kalau dapat penumpang mat Bangla, pastikan dulu lokasi sebenar yang mereka hendak pergi. Kesian sebab ada dalam kalangan mereka tak tahu membaca.

AG percaya bila kita bantu orang, orang akan bantu kita pula semasa kita perlukan bantuan.

(Visited 131 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More
Back to top button