Kecek

Masjid sebagai tempat pemulihan dadah

Artikel ini telah diolah dari artikel yang disiarkan TRT World Razali Awang

KEBIMBANGAN berulangnya kejadian kena peras ugut oleh penagih dadah sewaktu pulang ke rumah selepas menunai solat berjemaah memaksa imam Masjid Kaab yang terletak di kawasan bersejarah Bala, di barat Golden Horn, Istanbul, mencari penyelesaian.

Emin Kir terfikir jika kejadian yang sama berlaku lagi, ia tidak mempunyai cukup wang kerana gajinya yang kecil.

Selain itu di sekeliling masjid dia bertugas juga bersepah dengan golongan yang ketagih arak, menjadi satu lagi cabaran.

Kejadian 15 tahun lalu telah memberinya idea, dari mengelak kepada mendekati mereka yang terjebak dengan najis dadah dan mabuk minuman keras.

Antara pendekatan yang diambil, menjadikan masjid sebagai tempat perlindungan dengan memberi khidmat nasihat kepada golongan berkenaan.

“Apabila mereka datang ke sini, kami tidak pernah tanya mengenai agama mereka, kami tidak tanya siapa diri mereka. Pertama, mereka adalah manusia, kita kena tunjukkan belas ihsan.

“Ini adalah rumah Allah, perkara ini perlu dibuat di masjid kerana ia menjadi tempat yang merangkumi pelbagai lapisan masyarakat” katanya.

Ia bermula dengan menawarkan sup serta teh secara percuma kepada penagih dadah dan kumpulan gelandangan.

Bercerita bagaimana ia bermula, Kir yang dikenali “ baba” dalam kalangan penagih dadah dan kaki botol, berkata satu hari dia dihampiri salah seorang daripada kumpulan itu, Ramazan.

Dia kemudian membawanya ke masjid dan mempelawa untuk turut sama memasak sup.

“Selepas beberapa ketika, Ramazan mula tinggal dengan saya di masjid. Saya bina reban, beli ayam, kami bersarapan bersama pada setiap pagi untuk membantunya berfikir dan kemudian dia panggil saya bapa.

“Saya tidak pernah menoleh dari wajahnya. Dia telahpun berhenti ambil dadah.

Satu hari dia meminta saya mendapatkan kerja, kami dapatkan kerja, dia ada pendapatan sendiri. 13 tahun kemudian dia meminta saya menghantar balik ke kampung halamannya, Nigde.

Sekarang dia bekerja dan tidak lagi ketagih dadah, kami bercakap setiap hari dan dia menziarahi saya apabila datang ke Istanbul, katanya kepada TRT World.

Bermula dari kejayaan itu, dia tidak lagi menoleh ke belakang dan usahanya kemudian mendapat sokongan masyarakat setempat, termasuk daripada mufti dan gabenor.

Melalui kaedah menggunakan pengalaman bekas penagih sendiri untuk merawat penagih, dalam tempoh dua tahun lalu, lebih 30 orang telah berjaya dibantu.

“Pertama kita memberi golongan muda ini tempat tidur dan makanan apabila mereka datang kepada kami.

“Bila mereka berehat, kita mendengar kisah-kisah mereka. Kemudian kami bantu sekiranya mereka ingin atasi ketagihan” kata Kir.

Baginya cara terbaik untuk membantu golongan berkenaan memerangi ketagihan adalah dengan memahami mereka bukannya menghukum. – SM

(Visited 459 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button