fbpx
Kecek

Berita luar negara bukan sekadar terjemahan

TERSENTAK, terkejut dan sehingga ke tahap ternganga apabila mendengar berita siaran stesyen berita tersohor, mengenai latar belakang bakal Naib Presiden Amerika Syarikat, Kamala Harris yang memetik bahawa ibu beliau adalah pendatang haram dari India!

Satu kesalahan totok kerana mendiang Shyamala Gopalan adalah seorang saintis yang dikenali dalam bidang penyelidikan kanser yang datang ke Amerika Syarikat pada 1958 dan berkelulusan dari University of California, Berkeley.

Tidak tunggu lama, apa yang disiarkan menjadi tular sehingga stesyen tv berkenaan membuat permohonan maaf.

Kesilapan seperti itu boleh dielak dari awal sekiranya individu yang ditugaskan “mengetuk” melihat apa yang ingin disampaikan adalah isu besar yang serius.

Begitu juga dengan penyampai, yang perlu tahu apa yang dibaca!


Laporan bakal Naib Presiden Amerika Syarikat kot. Individu nombor dua yang akan mempengaruhi dasar luar negara yang ketika ini dianggap paling berpengaruh dan berkuasa di dunia!

Oleh itu, pemahaman wartawan dalam satu-satu isu yang ditulis menjadi perkara paling asas penyampaian berita dalam semua platform sama ada surat khabar, portal, tv, radio dan media sosial.

Sebarang maklumat yang diterima perlu dipastikan keabsahan dan semakan silang dengan sumber lain akan dapat mengelak kejadian salah lapor.

Dari situ dizahirkan melalui tulisan dan melalui medium atau platform yang ada, ia kemudian diterbitkan untuk perkongsian dengan pembaca, penonton maupun pendengar.

Dalam organisasi berita, setiap maklumat yang akan diterbitkan perlu melalui pelbagai tapisan.

Hala tuju kandungan yang ingin disampaikan akan ditentukan melalui pengurusan bilik berita melalui editor, yang benar-benar berpengalaman, bukan jenis yang reti petik atau lantikan melalui pintu belakang!

Ia mustahak kerana menjadi penanda aras kepada reputasi dan kredibaliti dalam industri.

Ini yang dikatakan sebagai piawaian pematuhan operasi (SOP) dalam pemerosesan dan penerbitan berita.

Ketika ini, sumber berita hanya di hujung jari dan tidak lagi sepenuhnya kepada agensi berita seperti Reuters, APTN, AP, Xinhua dan lain-lain.

Ia bergantung kepada si polan sama ada rajin atau malas.

Namun begitu, menulis berita luar negara bukan sekadar terjemahan.

Sama seperti laporan yang lain, ia kembali kepada perkara asas iaitu pemahaman.

Pada masa sama ia perlu selari dengan dasar dan pendirian Malaysia khususnya dalam isu Palestin, selatan Thai dan lain-lain.

Misalnya dalam isu Palestin, penggunaan perkataan ‘militant’ yang merujuk kepada pejuang Palestin adalah tidak tepat walaupun laporan media antarabangsa menggunakan istilah itu.

Begitu juga dengan konteks penggunaan “terrorist” dalam laporan agensi Barat terhadap dunia Islam, ia perlu difahami supaya tidak terpengaruh dengan dakyah Islamphobia.

Jika dahulu, kami yang menulis berita luar negara ditemani pelbagai jenis kamus dan ensiklopedia, kini semua itu sudah masuk arkib.

Adakalanya kerja begitu renyah kerana kekangan sumber sehingga terpaksa menelefon ke sana sini untuk mendapat maksud sesuatu perkataan atau istilah tertentu.

Hari ini, enjin carian seperti Google benar-benar memudahkan generasi baru menulis laporan berita, tekan sahaja dan cari apa yang dikehendaki.

Sekelip mata semua keluar.

Begitu juga dengan terjemahan.

Malangnya, ada yang bergantung sepenuhnya dengan terjemahan atas talian, maka hasilnya entah apa-apa kerana kebanyakannya salah maksud dan susunan tata bahasa.

Portal-portal atas talian yang bersepah lagi memudahkan kerja sehingga tanpa memikir panjang ada yang tiada segan sanggup memplagiat dengan ‘cut and paste’ tanpa izin ‘tuan tanah’ atau menyatakan sumber laporan.

Hakikatnya menulis serta menghasilkan berita tidak mudah.

Ia terikat dengan etika dan falsafah kewartawanan. – SM

Show More

Related Articles

Back to top button