fbpx
Kecek

Susahnya hidup di bumi sendiri…

NAMA seperti Abu Syaaban, Abu Mujahid, Abu Abdullah dan kanak-kanak seperti Hamzah, Abdullah, Yasmine dan ramai lagi sentiasa melekat dalam ingatan.

Kesemua mereka berada jauh di negara yang dulunya indah dan makmur dengan pelbagai hasil bumi, Syria.

Selepas Mac 2011, segala kenikmatan yang pernah dikecapi hilang satu persatu dan kepada mereka yang dianggap seteru oleh kerajaan, hanya ada satu pilihan iaitu melarikan diri untuk menyelamat nyawa.

Langkah-langkah pencegahan yang disyor WHO agak sukar memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di utara Syria kini menjadi cabaran besar kerana kekurangan keperluan asas.

Kesempatan bertemu dengan Abu Syaaban dan rakan-rakan yang lain ketika menjalankan tugasan Qurban4Syria 7.0, Syria Care tahun lalu menjadikan kami akrab hatta ke saat ini.

Ketika menghitung hari dan menyimpan cita-cita untuk kembali lagi ke sana pada hujung tahun ini, yang mana ia sesuatu yang begitu payah kerana Turki masih menutup sempadannya kepada orang luar, harapan itu berkecai selepas menerima mesej ringkas.


“Doakan…. Kemungkinan ada 1st case of covid-19 in Idlib province… At Bab Al-Hawa hospital. 😥
Semua di Bab Al Hospital tak dibenarkan keluar dan orang luar tak dibenarkan masuk hospital tersebut. Hospital mungkin on lockdown”, kata Kak Ameenah, salah seorang sukarelawan di Atma, utara Syria pada awal pagi Jumaat.

Sejurus selepas mendapat mesej itu, News Straits Times melaporkan kes pertama jangkitan Covid-19 di Bab al Hawa.

Bagi mendapat maklumat lanjut dalam keadaan mamai di awal subuh, terus melayari agensi dan stesyen berita seperti Reuters,AFP, Al Jazeera dan macam-macam lagi.

Menjelang ke pagi, telah bersedia laporan perkembangan yang berlaku untuk dikongsi dengan mereka yang lain.

Secara kronologi, kes pertama jangkitan Covid-19 dilaporkan telah dikesan di Bab al Hawa, Idlib pada Khamis (9 Julai).

Ia kemudian disahkan, Ketua Pejabat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Gazientep Turki, Mamoud Daher.

Jangkitan pertama membabitkan doktor lelaki warga Syria, berusia 30 an dan bertugas di salah sebuah hospital di bandar yang bersempadan dengan Turki itu.

Sehingga petang Sabtu, sukarelawan MedicalAidSyria.com, Dr. Shajul Islam dalam status Facebooknya mendakwa dua lagi telah dijangkiti virus berkenaan dan kesemua mangsa adalah doktor perubatan.

“Ini sangat membimbangkan kerana nampaknya mereka mempunyai hubungan dengan pesakit dari kem-kem. Mesej saya kepada doktor di dalam Idlib, mari kita lakukan pelan yang unik yang berkesan di kawasan kita” tulisnya.

Perkembangan itu benar-benar membimbangkan pertubuhan bukan kerajaan dan sukarelawan yang ketika ini berada di kawasan berkenaan.

 

Ia ibarat bom jangka…

Kekhuatiran itu semakin menjadi kenyataan, dalam laporannya pada Ahad, Al Jazeera melaporkan, tiga lagi kes baru menjadikan keseluruhan kes positif meningkat kepada empat.

Sepertimana kes pertama, ia melibatkan dua lagi doktor dan seorang jururawat di Idlib.

“Kes mutakhir dikesan pada Sabtu, seorang jururawat bertugas di bahagian kecemasan di hospital Bab al Hawa yang mempunyai hubungan dengan kes pertama”, lapor Al Jazeera.

Sebelum 9 Julai, kes Covid-19 hanya disahkan berlaku di kawasan yang dikuasai rejim Bashar al Assad.

Damsyik mengesahkan 372 kes jangkitan dengan jumlah kematian 14 nyawa, satu jumlah yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.

Kini dengan perkembangan terbaru di kawasan yang padat dengan pelarian dan penduduk yang mencecah empat juta orang ditambah pula dengan segala bentuk kekurangan kemudahan perubatan serta kemudahan lain, pandemik menjadi satu malapetaka baru.

Belumpun reda krisis kekurangan bekalan roti, kini satu lagi musibah muncul.

Mekanisma WHO supaya orang ramai mengamalkan penjarakan sosial untuk memutuskan rangkaian Covid-19, amat payah untuk dilaksanakan di utara Syria.

Langkah-langkah pencegahan yang disarankan menjadi sesuatu yang masih jauh untuk dilaksanakan kerana tuntutan kelangsungan hidup.

Makanan, pakaian dan tempat tinggal antara tiga perkara asas yang tidak pernah berkesudahan. Macamana mereka ingin praktikkan penjarakan sosial sedangkan semua keperluan itu masih “terawang-awang”.

Di utara Syria, tiada istilah perintah kawalan pergerakan, berkurung atau yang sewaktu dengannya kerana mereka telah lama dikepung regim Bashar.

Dalam keadaan yang segalanya hampir musnah, wabak Covid-19 menjadi satu ujian besar untuk mangsa konflik melalui satu lagi fasa kehidupan.

Tanpa bantuan antarabangsa mereka tidak mampu untuk kendiri.

Inilah Syria…

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button