Kecek

Cerita yang tiada kesudahan…

Inilah Syria, sengsara yang tiada kesudahan

BANYAK peristiwa menarik di negara umat Islam pada sepanjang dua minggu pertama Julai. Dari yang kontroversi sehingga ke sensasi.

Paling mengujakan pada 10 Julai lepas, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengumumkan Hagia Sophia, salah sebuah bangunan yang menjadi mercu tanda negara itu dikembalikan fungsi asal sebagai sebuah masjid selepas statusnya ditukar kepada muzium oleh Bapa Sekular Turki, Mustafa Kamal Ataturk pada tahun 1934.

Selepas lebih 80 tahun, usaha untuk mengembalikan semula bangunan bersejarah itu sebagai rumah Allah menjadi kenyataan.

Keputusan berkenaan telah dikecam hebat negara Barat khususnya Amerika Syarikat (AS) dan paling lantang, Greece yang menganggapnya sebagai sebahagian warisannya kerana ia pernah menjadi gereja penting Ortodoks.

Apabila kota metropolitan Rom Timur yang ketika itu dikenali sebagai Constantinople jatuh ke tangan Ottomaniyah pada 1453, namanya ditukar sebagai Istanbul.

Begitu juga dengan gereja yang dibina oleh Maharaja Justinian pada 537 Masehi, ia masih berfungsi sehingga dijual kepada pemerintah Islam dan pada 1570, Sultan Mehmed 11 mewakafkannya.

Sehari selepas Hagia Sophia dikembalikan fungsinya secara rasmi , pada 11 Julai 2020 di negara jiran Balkan yang suatu ketika dahulu pernah berada di bawah kekuasaan Ottomaniyah, Bosnia Herzegovina,  penduduknya meratapi ulang tahun ke-25 pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica, kekejaman terburuk dalam sejarah Eropah selepas Perang Dunia Kedua.

Tarikh 11 Julai 1995 menjadi detik hitam apabila lebih 8,000 lelaki dan kanak-kanak Islam dibunuh dalam tempoh beberapa hari oleh tentera Serbia.

malaysia life line for syria: Berita Terkini, Foto, Video mengenai ...

Sehingga kini, meskipun dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ), masih ramai pelakunya yang tidak menerima pembalasan setimpal terhadap jenayah yang dilakukan ke atas mereka yang tidak bersalah.

Pada 15 Julai satu lagi detik suram yang dikenang oleh penyokong Erdogan di Turki, gagalnya satu percubaan rampasan tentera untuk menggulingkan pentadbiran AK Party pada tahun 2016.

Berbeza dengan sebelumnya, pada tahun ini, semua majlis di atas dibuat dalam norma baharu bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Di sebalik momen bersejarah yang mempunyai kaitan dengan Turki, nun di negara jirannya, Syria, keadaan langsung tidak berubah.

Bahkan apa yang dibimbangkan sebelum ini menjadi kenyataan apabila kes pertama jangkitan wabak Covid-19 disahkan. Ia membabitkan doktor yang bertugas di salah sebuah hospital Bab al Hawa yang keluar masuk dari Syria ke Turki.

Sehingga Sabtu, 18 Julai 2020, baru-baru ini, 13 kes telah dikesan: pertambahan satu kes berbanding sehari sebelum ini.

Meskipun tiada kes kematian yang dilaporkan, dalam keadaan yang begitu mencabar dengan segala aneka kekurangan, usaha pencegahan menjadi satu “jihad”.

Apa yang membimbangkan, sebahagian besar mereka yang dijangkiti adalah petugas barisan hadapan iaitu para doktor dan jururawat yang berurusan secara langsung dengan pelarian.

Sudahlah bilangan pegawai perubatan sedikit; ditambah pula dengan segala kekurangan peralatan serta kemudahan dan kepadatan pelarian yang mencecah 4 juta orang, ia ibarat sebutir bom jangka.

Sumbangan yang diterima daripada luar dilaporkan semakin berkurangan kerana semua negara di seluruh dunia pada ketika ini menghadapi bala yang sama di mana mereka terpaksa mengutamakan keperluan domestik.

Care 4 Syria – Syria Care

Kebanyakan derma yang diterima adalah daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan-badan kemanusiaan. Namun bantuan yang masuk bagikan potongan kek yang terpaksa diagih-agihkan mengikut pelbagai keperluan.

Berikutan penularan wabak ini, ia bermakna dana bantuan lain seperti makanan, khemah dan pendidikan terpaksa dikurangkan kerana mengambil kira keperluan ubat-ubatan dan peralatan kesihatan bagi menghadapi pandemik Covid-19.

Ketika kebimbangan menghadapi ancaman  yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, pelarian terpaksa berdepan dengan serangan udara dan bom yang dilancarkan oleh askar Bashar al Assad.

Tatkala penyokong Erdogan memperingati percubaan rampasan kuasa oleh tentera pada 15 Julai, pada tarikh yang sama jugalah para pelarian Syria yang berada di Al Bab, pinggir Aleppo, dibom oleh rejim: 15 cedera dan satu jiwa melayang.

Mangsa yang terbunuh adalah kanak-kanak yang tidak pernah melakukan sebarang kesalahan kepada pemerintah, yang hidupnya suci dari dosa, yang siang malam bermimpi untuk menikmati keamanan seperti rakan-rakan sebaya mereka di tempat lain.

Inilah Syria, sengsara yang tiada kesudahan. – SM

(Visited 341 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button