Nasional

MASA lantik ahli bersekutu bantu pembangunan sosioekonomi Malaysia

Seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil dan saksama, kemakmuran di semua peringkat merupakan iltizam kerajaan untuk membangunkan negara.

 

Selain memastikan rakyat bersatu-padu tanpa prejudis dalam meraikan kepelbagaian kaum dan budaya sebagai asas penyatuan negara bangsa, wawasan ini juga menyasarkan peningkatan kemakmuran negara dan pengukuhan kestabilan politik ke tahap bahar.

 

Selari dengan aspirasi Institut Masa Depan Malaysia (MASA) untuk menjadi badan pemikir bebas yang mengangkat idea dan analisis dasar negara berpandukan nilai kemakmuran bersama, MASA amat menghargai sokongan dan dukungan para cendekiawan, penggubal dasar dan pemain industri sebagai penyumbang penting ke arah pembangunan sosioekonomi Malaysia dalam konteks Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

 

MASA yang diperkenalkan pada 2021 telah mengoptimumkan nasihat dan kepakaran secara langsung dalam pelbagai bidang penyelidikan melalui siri kuliah, perbincangan kumpulan fokus (FGD), bengkel dan penyediaan modul.

Mulai tahun ini, MASA memperkenalkan Ahli Bersekutu sebagai salah satu pecahan di bawah Program Felo MASA untuk memberi peluang kepada individu yang terdiri daripada pensyarah universiti terkemuka, ketua pertubuhan bukan kerajaan, pemimpin belia, selebriti, dan wakil media untuk menyumbang idea dan tenaga mereka dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan komuniti.

Semua ahli yang dilantik berpengalaman luas dalam bidang masing-masing sama ada aspek ekonomi, sosial, politik atau pembangunan lestari, yang sudah pasti akan membantu MASA dalam menyediakan input cadangan dasar bagi membantu Majlis Pemulihan Negara (MPN) merangka Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2.0 dan melaksanakan aspirasi WKB2030.

Melalui program ini juga, bidang-bidang tumpuan penyelidikan lain MASA seperti Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan sosiobudaya dapat dimantapkan sesuai dengan hasrat dan matlamat MASA untuk menjadi antara badan pemikir bebas yang disegani dan menghasilkan penyelidikan bermutu tinggi.

Antara Felo Kehormat dan Felo yang dilantik ialah Prof Ulung Datuk Dr Rajah Rasiah, Profesor Ulung Ekonomi, Institut Asia Eropah, Universiti Malaya (UM); Prof Emeritus Tan Sri Datuk Dr Dzulkifli Abdul Razak, Rektor, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong, Felo Penyelidik Kanan, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP); Profesor Datuk Dr Azizan Baharuddin, Pengarah, Pusat Dialog Peradaban, UM.

Datuk Dr Habibah Abdul Rahim, Ahli MPN merangkap Profesor Adjung Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM); Prof Dr Fatimah Kari, Profesor Kehormat Pusat Kajian Kemiskinan dan Pembangunan (CPDS), UM; dan Dr Shankaran Nambiar, Felo Penyelidik Kanan, Malaysian Institute of Economic Research (MIER).

Ahli Bersekutu yang dilantik pula dalam kalangan pemimpin muda seperti Sharifah Norizah Syed Ahamad Kabeer, Ketua Pegawai Eksekutif, ASEAN Youth Network (AYN) dan Cik Siti Aishah Hassan Hasri, Pengasas, SPOT Community Project Malaysia, di samping personaliti media popular iaitu Ketua Pengarang Astro Awani, Encik Ashwad Ismail dan pengacara Radio Televisyen Malaysia (RTM), Encik Mohd Ismail Adnan.

MASA merakamkan ucapan terima kasih dan syabas kepada semua Felo Kehormat, Felo dan Ahli Bersekutu yang telah dilantik.

Semoga pelantikan mereka dapat membantu MASA dalam menjalankan fungsinya dan mempromosikan nilai kemakmuran bersama.

Senarai penuh Felo Kehormat, Felo dan Ahli Bersekutu boleh dilayari di laman web Institut Masa Depan Malaysia (MASA) di alamat institutmasa.com.

 

 

 

(Visited 254 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button