Nasional

MAPI pentas anugerah berprestij julung kali diadakan UMT

Majlis Apresiasi Penyelidikan dan Inovasi 2023 (MAPI2023) buat julung kalinya diadakan bagi mengiktiraf, meraikan serta menghargai 311 orang penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang cemerlang sebagai penerima anugerah.

Acara penghargaan itu merupakan program julung kali diadakan oleh universiti itu dan akan diadakan secara dwi tahunan bermula 2023.

UMT melalui jabatan seliaanya iaitu Pejabat Pengurusan Penyelidikan (PPP) dan Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC) mensasarkan peluang penyelidikan bagi mencari potensi  khusus berkaitan bidang-bidang kepakaran dimiliki universiti itu selain mengiktiraf kecemerlangan ahli penyelidik UMT dalam usaha melonjakkan nama dan citra UMT melalui penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (RDCI).

Menurut Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar menerusi teks yang dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Dr. Marinah Mohd Ariffin berkata, pihaknya meluluskan dana berjumlah RM3 juta setiap tahun khas untuk aktiviti penyelidikan.

“Saya juga ingin mengambil peluang di sini untuk memaklumkan bahawa Dana Khas Teras Penyelidikan dan Inovasi dinaikkan kepada RM3 juta setiap tahun untuk meningkatkan pencapaian RDCI UMT,” katanya.

Katanya, UMT telah berjaya melangkaui prestasi kelompok universiti yang kurang daripada 15 tahun usia penubuhan.

“UMT juga telah berjaya mencapai 5 bintang dalam penarafan SETARA untuk Emerging University (< 15 tahun penubuhan) dan alhamdullilah, kita telah mendapat enam bintang pada tahun 2021.

“Ini semuanya hasil daripada komitmen dan kerjasama warga UMT cemerlang,” ujar beliau.

Tambahnya, segala penemuan baharu hasil aktiviti penyelidikan dan inovasi perlu dikembangkan ke peringkat seterusnya agar boleh dimanfaatkan.

“Para penyelidik UMT seharusnya telah bergerak ke arah pengkomersilan yang merangkumi produk berasaskan penyelidikan dan pembangunan di mana harta intelek yang didaftarkan dapat diterjemahkan kepada pengkomersilan yang memberi nilai tambah penjanaan kepada universiti, masyarakat dan industri.

MAPI2023 memperkenalkan enam kategori anugerah iaitu Anugerah Geran Penyelidikan, Anugerah Penerbitan, Anugerah Inovasi, Anugerah Terbaik dan Anugerah Khas.

Majlis penuh berprestij itu menyaksikan 19 penyelidik paling aktif yang telah mendapat pelbagai pengiktirafan, sitasi dan penerbitan jurnal serta nilaian geran penyelidikan penerbitan yang tinggi sebagai penerima Anugerah Terbaik.

Manakala Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP) berjaya meraih Anugerah Khas sekaligus diumumkan sebagai pusat penyelidikan yang berjaya menerima hadiah berbentuk geran penyelidikan bernilai RM100,000.00 atas pencapaian cemerlang memperolehi markah melebihi penanda aras bagi penarafan MyRA yang telah diaudit pada tahun 2022. -SM

(Visited 322 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button