BeritaHiburan

ASWARA ungguli Anugerah Filem Terbaik Keseluruhan, UPSI rangkul enam anugerah FFPM Ke-13

Tanjong Malim – Filem ‘ Message In The Bottle ‘ arahan Leonard Lai dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dinobatkan Anugerah Filem Terbaik Keseluruhan sempena Majlis Anugerah Festival Filem Pelajar Malaysia ( FFPM) Ke- 13.

Majlis gilang gemilang disaksikan lebih 3500 tetamu dan julung kali diadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berlangsung di Dewan Tuanku Canselor Kampus Sultan Azlan Shah.

Terdahulu filem terbabit turut memenangi anugerah lain termasuk Skrip Terbaik, Filem Pendek Terbaik, Pelakon Harapan (Amy Latiff) dan Pengarah Harapan ( Leonard Lai) di samping turut memenangi Filem Dokumentari Terbaik menerusi filem ‘ Prelude To Movie’.

Kejayaan itu juga menyaksikan filem ‘ Message In The Bottle’ berkenaan membolot hadiah berupa geran bernilai RM10,000 di samping membawa pulang trofi.

UPSI, selaku tuan rumah penganjuran bagaimanapun cemerlang merangkul enam anugerah iaitu Kesan Khas Terbaik , Sinematografi Terbaik , Skor Muzik Terbaik , Penyuntingan Terbaik, serta memenangi dua Anugerah Khas Juri iaitu Pelita dan Disebalik Wajah.

Festival terbabit dianjurkan oleh UPSI dengan usahasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia ( FINAS) dan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Majlis berkenaan dihadiri oleh Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim, Naib Canselor UPSI , Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Dr Marzita Puteh; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Madya Dr Norkhalid Salimin.

Sebanyak 21 kategori dipertandingan sempena FFPM Ke-13 termasuklah tujuh kategori utama iaitu Filem Animasi Terbaik, Filem Dokumentari Terbaik, Filem Iklan ( Khidmat Masyarakat ) Terbaik, Filem Eksperimen Terbaik, Filem Pendek Terbaik, Klip Video atau Muzik Terbaik dan Hadiah Keseluruhan Terbaik.

Festival yang berlangsung selama tiga hari turut membabitkan penganjuran bengkel videografi dan forum yang menampilkan orang kuat dalam dunia perfileman tanahair iaitu Datuk Rosyam Noor dan Datuk Yusry Halim sertai penggiat seni tanahair yang lain.

Menariknya, FFPM Kali Ke-13 pada tahun ini mendapat sambutan amat menggalakkan dan disertai lebih daripada 280 penyertaan , malah penyertaan bukan sahaja membabitkan peserta dari dalam negara bahkan dari luar negara.

Dr Md Nasir berkata penganjuran FFPM merupakan acara tahunan bagi memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada hasil kerja kreatif penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini selaras dengan arus perkembangan pesat industri kandungan kreatif pada hari ini.

Menurutnya, FINAS akan terus menganjurkan FFPM bagi mengcungkil bakat kreatif penuntut IPT di samping mengetengahkan karya kreatif yang bermutu dalam kalangan penuntut serta mencungkil bakat baharu.

” FFPM Ke-13 juga menjadi bukti bahawa UPSI komited dalam merealisasikan memorandum persefahaman ( MOU) jalinan kerjasama yang telah dimenterai sebelum ini dan saya berharap jalinan kerjasama tidak terhenti di sini sahaja dalam membangunkan industri kandungan kreatif negara.

” Harapan saya, pengiktirafan dan penghargaan yang diberikan melalui penganjuran FFPM akan dapat menyuntik semangat penuntut IPT untuk terus berkarya dan menghasilkan karya bermutu untuk yang boleh diangkat ke pesada dunia,” katanya.

Di samping itu, dalam FFPM Ke- 13, Anugerah Filem Animasi Terbaik dimenangi oleh Universiti Teknologi Mara ( UiTM) dan Filem Iklan Terbaik pula disandang oleh Universiti Kebangsaan Malaysia ( UKM).

Manakala, bagi Filem dan Video Eksperimen Terbaik pula dibolot oleh Institut Kemahiran Belia Negara ( IKBN) Kuala Langat ,Selangor, Video Klip dan Penataan Bunyi Terbaik dimenangi oleh Universi Malaysia Sabah ( UNIMAS), Kostum Terbaik oleh Universiti Sains Malaysia ( USM), serta Grafik Terbaik dimenangi oleh ( UCSI University) manakala Universiti Antarabangsa Albukhary memenangi salah satu Anugerah Khas Juri dengan video The Heart Of Alor Setar : Masjid Zahir.

Beliau berkata penganjuran FFPM juga diharapkan dapat merancakkan lagi pertumbuhan generasi pelapis industri kandungan kreatif negara dan sekaligus melahirkan sumber tenaga kerja yang akan menjadikan negara ini sebagai hab kandungan kreatif bertaraf antarabangsa.

Katanya, penghargaan dan ucapan terima kasih serta tahniah diucapkan kepada Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif di bawah pimpinan Prof Madya Ts Dr Muhamad Zaffwan Idris dan ahli jawatankuasa yang bertungkus lumus memastikan FFPM Ke-13 dilaksanakan dengan penuh gilang gemilang.

Sementara itu, Dr Md Amin pula berkata penganjuran FFPM yang anjurkan bersama FINAS dan KPT tahun ini lebih bersejarah kerana ia dianjurkan sempena Sambutan 100 Tahun SITC- MPSI-IPSI- UPSI.

Beliau berkata hubungan kerjasama dalam bidang berkaitan industri kreatif khususnya, akan terus diperkasakan selain mencungkil bakat kreatif penuntut IPT sejajar dengan hasrat KPT dalam mempelbagaikan dan memperhebatkan ‘ Festival of Idea ‘ ( FOI).

” Majlis ini amat bermakna dan bersejarah bagi kami di UPSI yang disandarkan dengan mandat dan amanah dari kerajaan untuk membantu melestarikan pembangunan pendigitalan Pendidikan negara,” katanya.

 

(Visited 344 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button