Nasional

Malaysia perlukan kerajaan stabil, Kabinet progresif dengan segera

Malaysia begitu jauh ditinggalkan dari segi ekonomi oleh negara jiran yang lain

MALAYSIA memerlukan sebuah kerajaan yang stabil dengan segera menjelang tahun 2021 yang akan tiba tidak lama lagi.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, Malaysia juga memerlukan barisan anggota Kabinet yang progresif secepat mungkin kerana negara begitu jauh ditinggalkan dari segi ekonomi oleh negara jiran yang lain.

Tegas beliau, tahun ini  Malaysia telah banyak membuang masa dan peluang.

“Tiga minggu dari sekarang, akan menyinsinglah fajar 2021. Kita akan mengakhiri tahun 2020 dengan tiada pencapaian penting, apatah lagi lonjakan baru untuk kemajuan dan kebolehsaingan.

“Negara jiran seperti Indonesia, Vietnam, Thailand dan Cambodia terus menunjukkan pencapaian ekonomi yang berdaya saing, menarik pelaburan teknologi dan menjadi negara perindustrian yang penting.


“Singapura pula memecut laju meninggalkan Malaysia jauh kebelakang. Kita telah membuang begitu banyak masa dan peluang dalam tahun 2020,” kata Mohamad.

Katanya, laporan media menunjukkan Indonesia telah menarik pelaburan luar negara dalam pelbagai perniagaan internet tahun ini.

“Facebook, Google and Microsoft telah melabur dalam angka beberapa bilion pada tahun 2020 walaupun Indonesia berhadapan dengan pandemic Corona yang meruncing. Begitu juga Temasik, Alibaba dan Softbank Japan.

“Gojek, Tokopedia dan Bukalapak antara yang menerima pelaburan signifikan dalam bulan November 2020, dalam angka ratusan juta USD.

“Ekonomi digital Indonesia telah berkembang lima kali ganda semenjak 2015. Ia kini dianggarkan bernilai 44 Billion USD pada 2020 dan akan mencapai 125 Billion USD pada 2025. Menjelang tahun 2025, Indonesia akan menjadi ekonomi kelima terbesar dunia,” kata Mohamad.

Menurut beliau, sesuatu mesti dilakukan dengan segera dan kelesuan iklim pelaburan negara tidak boleh dibiarkan berterusan.

“Sekarang sektor perindustrian kita sangat jauh terkebelakang. Malaysia pada hemat saya “is experiencing premature deindustrialization”.

“Sektor pertumbuhan baru seperti ekonomi digital, perbankan dan kewangan pula, terus malar tanpa impetus pertumbuhan radikal,” kata Mohamad.

Tegas beliau, pelbagai drama politik yang berlaku dalam negara menyebabkan kesuraman iklim pelaburan negara.

Pandemic Covid-19 terus meletakkan ekonomi Malaysia pada kemelesetan terparah dalam sejarah.

“Agenda reset ekonomi mesti segera beralih kepada pertumbuhan yang berganda, pelaburan bermutu dalam sektor teknologi dan innovatif serta membuka pasaran dengan lebih agresif.

“Untuk itu, Malaysia mesti segera mempunyai kerajaan yang stabil, Kabinet yang progresif dan dasar ekonomi yang ‘revolutionary’.

“Pandemic Corona tidak lagi boleh dijadikan alasan untuk ekonomi terus pegun dan terencat sebegini,” tegas Mohamad.-SM

 

 

(Visited 135 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button