Politik

Majlis pengenalan calon Ampangan kecoh

SUASANA Majlis Pengenalan Calon Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan malam tadi sedikit panas apabila beberapa penyokong PKR menjerit dengan perkataan ‘tukar Ampangan’.

Tindakan itu difahamkan selepas mereka tidak berpuas hati dengan pemilihan Ketua Wanita Cabang Seremban, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman yang dipilih sebagai calon Ampangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook diserbu penyokong PKR yang tidak berpuas hati dengan pengenalan calon yang akan bertanding di Ampangan pada PRN Negeri Sembilan. – GAMBAR SINAR HARIAN

Kumpulan terbabit yang pada awalnya duduk di bahagian belakang dewan kemudiannya pergi ke bahagian hadapan bertemu dengan Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook dipercayai bagi menyatakan ketidakpuasan hati itu.

Namun tidak dapat dipastikan butiran yang dikatakan kepada Ahli Parlimen Seremban terbabit, namun kendengaran mereka menyebut perkataan Ampangan.

Bagaimanapun keadaan terkawal dan tidak berlaku sebarang kekecohan yang tidak diingini.

Seorang penyokong ditemui Sinar Harian memberitahu, mereka meminta calon Ampangan ditukar dengan calon lain kerana beliau dilihat tidak mempunyai bakat sebagai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Tetapi kami tak boleh buat keputusan (calon sesuai) dan hanya kepimpinan parti boleh bincangkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Tengku Zamrah pula enggan memberi sebarang kenyataan berhubung perkara itu.

Pada majlis berkenaan juga, Pengerusi PKR yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun tidak hadir kerana dilaporkan ada urusan yang tidak dapat dielakkan.

Untuk rekod, penyandang DUN Ampangan ialah Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek yang juga Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan.

Beliau dilihat antara ADUN yang menunjukkan prestasi baik sebagai wakil rakyat apabila melakukan pelbagai pembangunan terhadap Ampangan.

Antaranya pembinaan Pasar Moden Ampangan, Kompleks Komuniti Ampangan untuk menggantikan Balai Penghulu yang telah uzur, Jejantas Ampangan yang menghubungi Bangunan UTC – Benteng Ampangan dan Dataran Ampangan.

Bagaimanapun pada PRN ini, nama beliau digugurkan selepas satu penggal berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Selain itu, dua lagi bekas ADUN PKR turut digugurkan iaitu penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung, Datuk M Ravi yang merupakan Timbalan Speaker DUN Negeri Sembilan dan penyandang DUN Chuah, Datuk Michael Yek Diew Ching. – SM

(Visited 212 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button