Politik

Tun M sanggup potong pencen 10% bantu golongan hilang kerja

BEKAS Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu memotong 10 peratus daripada pencen yang diterimanya untuk diberikan kepada golongan yang hilang pekerjaan.

Katanya, beliau sanggup melakukan pemotongan pencen itu asalkan digunakan untuk mengurangkan beban mereka yang hilang mata pencarian.

“Saya sanggup dipotong sebanyak 10% dari pencen saya asalkan ia diguna untuk mengurangkan beban mereka yang sudah hilang pendapatan sama sekali.

“Saya akui kehidupan saya tidak sedikit pun terjejas kerana lockdown dan SOP yang saya terpaksa amalkan,” kata Dr. Mahathir.

Menurutnya, ketika menjadi perdana menteri usul pertama yang beliau bawa di Dewan Rakyat adalah memotong gajinya, gaji menteri, timbalan menteri dan pegawai tinggi kerajaan sebanyak 10%.

Pada waktu itu tidak berlaku langsung masalah ekonomi besar melanda negara dan dunia.

Beliau memandingkan gaji yang diterima Menteri dan Timbalan Menteri pada waktu ini yang menurutnya naik berkali ganda dari dahulu.

“Sementara ramai yang hilang pendapatan sama sekali, mereka yang bergaji dalam Kerajaan tidak mengalami apa-apa kekurangan. Dalam syarikat swasta pun tidak ada kekurangan gaji.

“Untuk mengurang jarak antara yang bernasib baik dan yang bernasib buruk, pemotongan 10 peratus dari mereka yang terselamat untuk memberi kepada yang tidak selamat memang wajar,” kata Dr. Mahathir.

Dr. Mahathir dalam blognya semalam mengingatkan golongan miskin terkesan teruk akibat pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan ramai yang kehilangan pendapatan atau pekerjaan.

Justeru, bekas perdana menteri dua kali itu mencadangkan agar kumpulan berpendapatan tinggi dalam kerajaan dan sektor swasta melepaskan 10 peratus daripada gaji bulanan mereka bagi membantu golongan terjejas.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata potongan tersebut boleh digunakan untuk menyediakan makanan dan barang keperluan kepada mereka yang tidak bekerja atau hilang punca pendapatan.

“Shafie Apdal (bekas ketua menteri Sabah) mencadangkan potongan gaji menteri sebanyak 30 peratus.

“Itu jumlah yang besar. Saya fikir kumpulan berpendapatan tinggi dalam kerajaan dan sektor swasta harus melepaskan 10 peratus daripada gaji mereka.

“Ia adalah pengorbanan dan saya tidak fikir mereka akan tergugat jika ada had potongan yang munasabah, katakan RM20,000 sebulan,” jelasnya.-SM

(Visited 206 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button