Berita

MAIPs terima kunjungan MAIWP

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah menerima kunjungan lawatan kerja dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini.

Lawatan kerja selama tiga hari berkenaan diketuai oleh Timbalan Pengurus Bahagian Pembangunan Asnaf, Mohd Rafie Zakaria bersama seramai 8 orang pegawai dan 27 orang penerima bantuan perniagaan daripada pihak MAIWP yang bermatlamatkan untuk melaksanakan perkongsian pintar antara kedua-dua pihak bagi melaksanakan program dan inisiatif pembangunan serta bimbingan kepada golongan asnaf di Wilayah Persekutuan dan negeri Perlis.

Beberapa siri perkongsian dan lawatan kerja telah dilaksanakan termasuk perbincangan dua hala bersama Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor serta lawatan ke beberapa lokasi produk usahawan asnaf bimbingan Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM).

Kemuncak program ialah apabila para peserta lawatan amat teruja sekali apabila diberikan kesempatan untuk bersua muka dan mengadap Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs di perkarangan Masjid Al Muqarrabin, Behor Empiang dekat Kangar sebelum baginda memulakan program rutin kayuhan ‘MAIPs Peduli’ baginda pada petang semalam.

Tambah istimewa, lima orang wakil daripada pihak rombongan MAIWP tidak melepaskan peluang sekali seumur hidup untuk turut mengiringi Tuanku Raja Muda melaksanakan program yang sudahpun diketahui umum di seluruh negara bagi menjejaki dan menyantuni asnaf terpilih tersebut pada kali ini.


(Visited 15 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button