HiburanMahkamah

Ismahalil, bekas penyampai radio bebas daripada hukuman mati

BEKAS penyampai radio, Ismahalil Hamzah terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membebaskannya daripada satu tuduhan mengedar dadah jenis kanabis anggaran berat 374.6 gram, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas Ismahalil, 50, berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Dalam kes ini, pembelaan diwakili Peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar dan Adi Zulkarnain Zulkafli sementara pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad.

Sejurus keputusan diketahui, Ismahalil yang memakai baju-T dan berkopiah putih kelihatan terperosok ke bawah kerusi di kandang tertuduh.

Pada 6 September 2021, dia didakwa kali pertama di Mahkamah Majistret atas pertuduhan berkenaan.

Pada 21 Februari tahun lalu, Ismahalil mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis anggaran berat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, Kuala Lupur pada jam 5.35 petang, 27 Ogos 2021.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pada 27 Februari lalu, Ismahalil menangis sambil memandang ke arah isteri dan anak-anaknya selepas mahkamah memerintahkan dia membela diri atas tuduhan tersebut. – SM

BACA Edar dadah: Bekas deejay radio, Ismahalil diperintah bela diri

BACA Kes DJ radio Ismahalil edar dadah dipindah ke Mahkamah Tinggi

 

(Visited 278 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button