Uncategorized

Love scam berjaya jebak nelayan RM284,000

LOVE scam. Sudah kena! Jerat percintaan bernilai lebih RM280,000. Seorang pemuda yang bekerja sebagai nelayan hanya mampu berputih mata dan hilang wang berjumlah RM284,850 apabila dia diperdaya “kekasih” untuk membuat pelaburan mata wang kripto yang tidak wujud.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Kerian menerima laporan daripada mangsa, lelaki berusia 27 tahun itu semalam.

Beliau berkata, kejadian berlaku pada November lalu apabila mangsa dihubungi suspek iaitu seorang wanita melalui aplikasi WeChat sebelum mereka berkenalan dan jatuh cinta.

Beliau berkata, suspek menawarkan pelaburan mata wang kripto kepada mangsa dengan menghantar pautan melalui aplikasi tersebut pada Januari dan menjanjikan pulangan RM200,000 jika melabur RM30,000.

“Akibat telah jatuh cinta dan terpedaya, mangsa mula membuat pelaburan melalui aplikasi mata wang kripto yang diberikan oleh wanita itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Yusri berkata, mangsa membuat 99 kali transaksi pindahan wang secara dalam talian ke 21 akaun bank.

Menurut Yusri, transaksi dibuat dari 6 Mac hingga 15 Julai lalu dengan menggunakan wang simpanan, meminjam daripada ahli keluarga, rakan dan majikan melibatkan kerugian RM284,850.

Katanya lagi, selepas mangsa kehabisan wang, suspek tetap meminta dia terus melabur membuatkan lelaki itu meminta wangnya dikembalikan.

Bagaimanapun suspek memberi pelbagai alasan dan tidak lagi membalas mesej melalui aplikasi WeChat, ujar beliau.

“Mangsa rasa tertipu dan datang ke balai polis untuk membuat laporan. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Yusri menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan “love scam” dan pelbagai program pelaburan yang tidak wujud.

“Jangan layan atau mudah percaya individu tidak dikenali di media sosial.

“Selain semak dengan agensi berkaitan sebelum membuat sebarang transaksi dan hanya melabur di platform yang berdaftar dengan Bank Negara serta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia,” katanya. – SM

(Visited 102 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button