JenayahNasionalNegeri

Pasangan suami isteri Rohingya ditahan jadi “ejen” Surat Dalam Pertimbangan UNHCR palsu

DUA tahun lalu, suspek ethnik Rohingya ini ditahan di Depot Imigresen Belantik, Sik, Kedah setelah masuk secara haram ke Malaysia sebagai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Terbaharu suspek nampaknya masih tidak serik sebaliknya semakin menunjukkan belang apabila menjadi “ejen” bagi memproses bukan sahaja Surat Dalam Pertimbangan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) palsu malah juga sijil nikah palsu untuk ethnik Rohingya.

Surat Dalam Pertimbangan (UNHCR) palsu yang dirampas ketika serbuan “Ops Serkap” di madrasah di sebuah kawasan Kampung Permatang Pauh , Simpang Empat, Perlis.

Madrasah tempat anak-anak Rohingya mengaji al-Quran di pula dijadikan oleh suspek berusia 30 tahun ini bersama dengan isterinya, 24 tahun sebagai “pejabat” bagi melakukan kerja memproses semua dokumen palsu ini.

Bayaran upah hanya RM50 bagi setiap dokumen di mana dikatakan telah “dibeli” oleh 200 ethnik Rohingya termasuk dari luar Perlis.

Perkara ini didedahkan oleh Pengarah Imigresen Perlis, Khairul Amin Talib pada sidang media di pejabat JIM Kangar hari ini setelah serbuan oleh pasukan yang diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasa, Abdul Halim Ismail bersama 35 pegawai dalam “Ops Serkap” di satu kawasan di Kampung Permatang Pauh , Simpang Empat, Perlis pada pukul 10 pagi, 21 September.

Hadir sama Timbalan Pengarah Imigresen, Hasrisah Hassan.

Khairul Amin berkata, modus operandinya setiap permohonan dilakukan melalui aplikasi media sosial ataupun pemohon hadir sendiri untuk mendapatkan Surat Dalam Pertimbangan UNHCR.

“Setelah lengkap, suspek akan memuat naik dokumen tersebut secara PDF melalui aplikasi whatsapp atau lain-lain aplikasi dan dicetak oleh pemohon sendiri dengan bayaran yang dikenakan sebanyak RM50,” katanya.

Tambahnya, hasil semakan di dalam komputer riba milik suspek utama juga mendapati dokumen palsu itu telah dikeluarkan kepada lebih kurang 200 orang etnik Rohingya termasuk di luar Perlis.

Selain itu katanya, pasukan operasi juga turut menemui sijil- sijil kahwin yang disyaki palsu untuk kegunaan pasangan etnik Rohingya yang turut disediakan oleh suspek utama kes ini.

Madrasah ini menjadi “pejabat” suspek memproses Surat Dalam Pertimbangan UNHCR palsu. – Gambar Ihsan JIM Perlis

Katanya antara barang rampasan pada operasi selama sejam itu termasuk dua komputer riba, dua telefon bimbit, 1 tablet jenama Samsung , satu “pendrive” , 2 unit SD Card, dua set kad perniagaan dan 2 buku rekod pelajar dan bayaran proses surat UNHCR, wang tunai RM5,300 serta beberapa salinan cetakan surat dalam proses pertimbangan UNHCR dan salinan sijil kahwin Rohingya Malaysia.

Beliau berkata, suspek pertama (suami) disiasat di bawah Sek. 56(1A) (b) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana melakukan perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan atau membantu perlakuan apa-apa kesalahan di bawah Akta Imigresen

Tambahnya, suspek kedua (isteri) disiasat di bawah Sek. 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.

Katanya, keduanya direman selama dua minggu mulai hari ini (22 September). – SM

(Visited 93 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button