Nasional

Lima kementerian akan meneliti laporan kebocoran subsidi diesel

LIMA kementerian akan bermesyuarat dalam tempoh beberapa minggu akan datang untuk meneliti laporan mengenai ketirisan subsidi diesel berjumlah hampir RM10 bilion.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata selain kementeriannya, empat lagi kementerian terbabit ialah Kementerian Kewangan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan serta Kementerian Pertanian dan Keselamatan Makanan.

“Ops Tiris telah dilancarkan untuk membanteras (penyalahgunaan diesel bersubsidi) dan saya akan meneliti laporan itu kemudian. Pada masa sama, pasukan khas juga telah ditubuhkan jadi biarlah mereka menjalankan siasatan,” katanya ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan Perbahasan 2023 di Dewan Rakyat semalam.

Selain itu, Salahuddin berkata beliau juga telah mengarahkan satu pasukan tindakan khas yang diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keselamatan Makanan Datuk Azman Mohd Yusof ditubuhkan segera bagi membanteras kebocoran diesel bersubsidi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Bajet 2023 berkata ketirisan diesel bersubsidi dianggarkan hampir RM10 bilion tahun lepas.

Sementara itu, Salahuddin juga berkata Kafe Rahmah untuk pelajar universiti di negara ini akan diperkenalkan selepas Hari Raya Aidilfitri di bawah inisiatif Payung Rahmah.

Katanya, ia adalah kesinambungan daripada program seperti Menu Rahmah, Bakul Rahmah, Pakej Rahmah dan Jualan Rahmah yang telah dan sedang dilaksanakan.

Menurutnya, setakat hari ini, 1,193 pengusaha makanan daripada gerai di bawah pokok sehinggalah restoran mewah dan terkenal terlibat dalam inisiatif Menu Rahmah. -SM

 

(Visited 55 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button