fbpx
Nasional

Teruskanlah beri tumpuan pada pelajaran dalam tempoh PKP dan Ramadan – Raja Muda Perlis

DALAM menghadapi ‘Norma Baharu Kehidupan’ kesan daripada pandemik Covid-19 ini semua pelajar sekolah perlu terus memotivasikan diri mereka bagi mengekalkan momentum belajar dan mendalami ilmu pengetahuan, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Kita juga maklum bahawa bulan Ramadan bakal menjelma dalam beberapa hari sahaja lagi. Justeru, para pelajar juga dinasihatkan agar lebih bersedia dan terus bersemangat untuk belajar walaupun dalam suasana berpuasa dan dalam tempoh PKP ini. Ambilah peluang masa berada di rumah dengan membuat perancangan serta jadual yang teratur bagi menelaah buku pelajaran, mengadakan perbincangan bersama keluarga begitu juga rakan-rakan dan guru melalui aplikasi atas talian, email dan sebagainya.

Janganlah menjadikan situasi wabak Covid-19 ini sebagai alasan untuk tidak lagi mengambil tahu sama sekali berkaitan pelajaran masing-masing dan janganlah membazirkan waktu dengan aktiviti yang tidak berfaedah dan melalaikan. Ini bukanlah ‘cuti’ atau waktu ‘rehat’ panjang yang diberikan oleh Kerajaan, tetapi merupakan waktu yang amat mencukupi untuk pelajar terus belajar dengan lebih selesa di rumah sendiri di samping menjalankan tanggungjawab sebagai seorang anak di rumah, tegas baginda.

Baginda bertitah demikian rentetan daripada keputusan pihak Kerajaan yang telah membatalkan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun 2020 ekoran pandemik berpanjangan COVID-19. Demikian juga penangguhan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara ke suku tahun pertama tahun 2021, yang diharap baginda diambil secara positif oleh semua dan ianya bukanlah alasan untuk tidak memberikan fokus kepada pelajaran bahkan ia merupakan pembakar semangat untuk terus menekuni ilmu.

Tambah baginda, kepada para pelajar di peringkat rendah dan menengah, didapati pihak sekolah di negeri ini telah memulakan kelas secara online dan berperingkat. Para guru sudah mula mengirim bahan latihan mengikut subjek kepada pelajar dan perlu disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan. Justeru, ibu bapa juga perlu mengambil peranan secara proaktif dengan memantau proses kelas atas talian ini dengan menghubungi guru-guru terbabit untuk memohon nasihat dan mencari alternatif terbaik jika mempunyai sebarang permasalahan.


Ketika inilah ibu bapa begitu juga abang dan kakak hendaklah berperanan sebagai ‘guru’ dan ‘pembimbing’ ketika di rumah. Ibu bapa dapat melihat sendiri bagaimana sukarnya tugas guru di sekolah dalam mendidik anak-anak. Ini merupakan masa terbaik untuk lebih dekat dengan anak-anak dengan memberikan perhatian dan dorongan sebaiknya dalam mereka mengikuti pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara online, titah Tuanku Syed Faizuddin Putra.

Untuk rekod, sebagai inisiatif untuk membantu para pelajar di negeri ini sepanjang tempoh pelanjutan PKP sehingga 28 April 2020, Kerajaan Negeri bersama-sama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah bersetuju untuk meneruskan Program Tuisyen melalui atas talian “Perlis Mengaji” yang boleh dilayari dalam laman rasmi Facebook JAIPs dan Suara Sunnah melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis. Sebagai penambah baikan untuk PKP3, program tuisyen ini turut melibatkan PdP bagi peperiksaan STPM dan STAM.

Program pendidikan atas talian “Perlis Mengaji” turut dilengkapkan dengan sesi PdP “Sekolah Agama Petang Perlis (SAPP)” sebagai pengukuhan pendidikan Agama Islam di peringkat rendah di negeri ini. – SM

Show More

Related Articles

Back to top button