fbpx
Nasional

Lesen perniagaan tidak akan diberi kepada warga asing – Annuar Musa

Tapak Pasar Borong Selayang, pasar tani lesen untuk warga tempatan

JANGAN jadikan rakyat negara sendiri umpama melukut di tepi gantang. Begitu juga jangan ada yang bersifat seperti kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.

Biarlah Kementerian Wilayah Persekutuan bersikap tegas ke atas mana-mana pihak yang menyalahgunakan kuasa dengan memberi lesen perniagaan kepada warga asing termasuk pemegang asal lesen.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa hari ini berkata, dasar kerajaan jelas menyatakan bahawa warga asing tidak dibenarkan memiliki lesen perniagaan sama ada di tapak sementara Pasar Borong Selayang atau pun di tapak pasar-pasar tani berhampiran.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi sekiranya pemegang lesen, menyewakan lesen mereka kepada warga asing.

Jika itu berlaku, mereka ini bukan sahaja akan disenaraihitamkan tetapi juga, kata Annuar, dirampas lesen serta-merta.


“Jadi, kita kena berbalik kepada peraturan iaitu warga asing tidak boleh memiliki lesen perniagaan kerana lesen perniagaan yang dikeluarkan hanyalah untuk warganegara tempatan.

“Itu adalah hak warganegara. Kalau hak itu disalah gunakan, kita mesti ambil tindakan dan jangan pandang perkara ini sebelah mata,” tegas Annuar.

Beliau berharap, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat tentang penyalahgunaan kuasa dan lesen perniagaan agar melapor segera kepada pihaknya atau pun kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk diambil tindakan. Annuar berkata demikian usai majlis penyampaian bantuan kepada penduduk di Flat Taman Segar, Cheras.

Annuar turut dimaklumkan tentang wujudnya peniaga asing yang dipercayai sanggup membayar sehingga RM3,000 sebulan untuk mendapatkan ruang berniaga berhampiran tapak sementara Pasar Borong Selayang di Kuala Lumpur serta tapak pasar tani berdekatan.

Annuar turut dimaklumkan tentang senario kemasukan pendatang asing untuk berniaga di tapak-tapak berkenaan, diuruskan oleh “orang dalam” daripada persatuan peniaga tertentu yang mengenakan bayaran jauh lebih tinggi berbanding RM900 setahun yang dikenakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ke atas peniaga tempatan.

Annuar berkata, beliau tidak akan melayan rayuan mana-mana pihak supaya memberi kelonggaran kepada warga asing kerana ia bercanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya faham ada wakil, termasuk MPP (Majlis Perwakilan Penduduk) datang memujuk saya supaya memberi kelonggaran. Kalau kita mula longgarkan, akhirnya kita tidak boleh kuat kuasa apa pun.

“Macam saya kata, rayuan sebegini, saya langsung tidak akan layan. Lagipun, dalam keadaan rakyat kita susah nak dapat lesen, orang kita rasa kecil hati kalau mereka tengok warga asing pula dapat lesen dan boleh berniaga,” kata Annuar.

Oleh itu, kata Annuar, kerajaan perlu mendahulukan rakyat dalam pemberian lesen perniagaan dan pekerjaan.

“Berapa ramai orang datang jumpa saya nak mohon lesen pasar borong, pasar harian? Kalau orang tempatan tidak dapat lesen, macam mana warga asing boleh berniaga?

“Kalau rakyat kita nak dapat lesen berniaga tepi jalan pun susah, nak dapat lesen pasar borong pun payah, apa nak jadi kepada negara kita? Kita kena bela rakyat kita dulu,” katanya.

Annuar berkata, beliau memahami tujuan majikan mahu mengambil pekerja asing bekerja di pasar borong kerana bayaran gaji rendah namun penilaian menyeluruh perlu dilakukan.

“Jangan tengok duit saja, kita kena tengok secara keseluruhan dan dahulukan rakyat kita yang nak buat kerja. Kalau semua peluang bagi kepada warga asing, rakyat kita susah.

“Jangan bayar gaji murah dan sewa pula, terlalu mahal kepada rakyat kita sebab mereka tidak mampu. Jadi, jangan rosakkan pasaran tawaran kerja dan peluang perniagaan,” kata Annuar memberi peringatan. – SM

(Visited 78 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button