JenayahNasional

Lelaki warga emas rugi RM1.87 juta terpedaya parcel scam

SEORANG warga emas rugi kira-kira RM1.87 juta akibat terpedaya dengan parcel scam selepas berkenalan dengan seorang wanita menerusi media sosial.

Ketua Polis Johor Bahru Utara, ACP Rupiah Abd Wahid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu semalam daripada mangsa yang merupakan lelaki tempatan berusia 67 tahun.

Beliau berkata, bekas pekerja syarikat swasta itu berkenalan dengan wanita berkenaan yang mendakwa dirinya warga Brazil dan bekerja sebagai doktor di United Kingdom, pada akhir Mei lalu.

“Setelah berkenalan lebih dua minggu, individu itu telah berjanji untuk mengirimkan barang dan wang tunai berjumlah USD2.8 juta kepada mangsa.

“Namun, pada 13 Jun 2022, seorang lagi wanita yang mengaku sebagai ejen penghantaran barang telah menghubungi mangsa dan meminta bayaran caj servis penghantaran barang dan wang tunai yang dijanjikan,” lapor Bernama.


Jelas Rupiah, mangsa telah menggunakan wang simpanannya berjumlah RM1,871,540 untuk melakukan 11 transaksi dalam talian ke akaun bank yang diberikan ‘ejen’ tersebut bagi tempoh Jun hingga Ogos.

Beliau berkata, lelaki itu menyedari dirinya ditipu apabila sehingga kini dia tidak menerima barang dan wang tunai yang dijanjikan dan wanita berkenaan juga gagal dihubungi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan orang awam dinasihatkan supaya segera melaporkan kepada polis sekiranya menerima sistem pesanan ringkas (SMS), emel atau panggilan telefon mengenai tawaran yang meragukan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan. – SM

(Visited 37 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button