MahkamahNasionalNegeri

Lelaki didakwa cederakan anggota polis, langgar kereta peronda

SEORANG lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, hari ini atas pertuduhan melanggar kereta peronda dan mencederakan anggota polis, dua minggu lalu.

Tertuduh, Wan Khairul Aslam Wan Mat, 33, bagaimana pun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengundur kereta dipandunya dan melanggar kereta dipandu Sarjan Muhammad Haniff Hashim sehingga menyebabkan kerosakan bernilai RM2,358.15 di Lorong Kekwa 11, Peringgit, di sini, pada jam 4.45 pagi, 4 Januari lalu.

Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang daripada setahun sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK).

Sementara itu bagi pertuduhan kedua, tertuduh telah menyerang dan menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang anggota polis Lans Koperal Alif Danial Hermi hingga menyebabkan kecederaan sewaktu sedang menjalankan kewajipan.

Dia didakwa di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Selain itu bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 7.74 gram di Jalan Solok Pantai Peringgit, Kampung Pantai Peringgit pada tarikh dan masa sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun dan sebat antara tiga hingga sembilan sebatan.

Sementara bagi pertuduhan keempat, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1) (a) ADB 1952 iaitu memberikan dadah methamphetamine kepada diri sendiri.

Timbalan Pendakwa Raya Wardah Isshar mencadangkan jaminan berjumlah RM24,000 bagi semua pertuduhan, namun peguam Ishak Mohd Kari merayu jumlah berkenaan dikurangkan.

Tertuduh memberi alasan dia hanya melakukan kerja-kerja kampung dengan pendapatan bulanan sekitar RM1,500.

Majistret Khairunnisak memutuskan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan sebutan semula serta serahan dokumen pada 22 Februari ini. – SM

BACA Polis cedera ditumbuk, ditendang, digigit sekumpulan lelaki mabuk

BACA Koperal polis cedera dilanggar dan diseret hampir 20 meter

(Visited 49 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button