BeritaPolitik

Laporan polis terhadap Raja Petra, fitnah Chin Tong

SATU laporan polis telah dibuat terhadap penulis blog, Raja Petra Kamaruddin susulan penulisannya yang berbaur fitnah terhadap Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong.

Tindakan saman sivil juga akan dimulakan terhadap Raja Petra kerana dalam penulisannya mendakwa, pemegang jawatan kedua tertinggi dalam Kementerian Pertahanan itu terlibat dengan rancangan membawa masuk abu mayat Chin Peng ke negara ini.

Bagaimanapun, menurut Pegawai Media kepada Chin Tong, Izmil Amri Ismail tindakan saman sivil itu akan dipertimbangkan selepas perbincangan dilakukan bersama peguam mereka.

“Untuk rekod, YB Liew tidak pernah membuat sebarang komen tentang isu abu mayat Chin Peng.

“Fitnah ini tidak lain bertujuan untuk mengalihkan tumpuan umum daripada isu-isu utama minggu ini termasuklah pembentangan Kertas Putih Pertahanan (KPP) serta perbicaraan kes-kes salah guna kuasa melibatkan dua bekas menteri pertahanan di mahkamah,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Susulan berita berbaur fitnah itu, satu laporan polis telah dibuat terhadap Raja Petra Kamaruddin di IPD Dang Wangi.

Laporan polis itu dibuat oleh Izmil sendiri dan menyifatkan tulisan Raja Petra itu sebagai satu kesalahan di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan dan Akta Fitnah 1957

“Tulisan bertajuk ‘The Fake Ashes of Chin Peng’ yang disiarkan di laman sesawang Malaysia Today bertarikh 3 Disember 2019 itu menyebut ‘This idea on smuggling Chin Peng’s ashes into Malaysia was mooted by Chin Tong, DAP’s strategies and mastermind, months before the Tanjung Piai’s by-election last month.

“Selain mendakwa ‘In fact, according to Liew Chin Tong’s inner circle, the ashes are not Chin Peng’s ashes at all’ dan baris bertulis tebal berbunyi ‘Liew Chin Tong came out with this ruse of Chin Peng’s ashes’,” jelas beliau.

(Visited 136 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.
Back to top button