Nasional

Langkah holistik perlu tangani isu kenaikan harga barang

KERAJAAN terus disarankan agar mengambil langkah holistik dalam menangani isu kenaikan harga barang makanan.

Perkara itu merupakan antara lain yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan oleh Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam tadi.

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, isu yang melingkari kehidupan rakyat masa kini khususnya melibatkan kenaikan kos sara hidup turut dibincangkan.

“Kenaikan harga barangan dan perkhidmatan secara mendadak lantaran inflasi dan krisis ekonomi global merupakan lain-lain isu yang dibincangkan malam tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, parti menyelami keperitan yang dihadapi rakyat ketika ini, maka mesyuarat membuat beberapa ketetapan seperti berikut:


Menggesa agar Kerajaan dapat segera menangani isu kenaikan harga barangan makanan asas rakyat secara holistik, sepadu dan berkesan. Sebagai contoh, dalam isu harga ayam, cadangan untuk mewujudkan Lembaga Unggas Negara wajar dipertimbangkan agar isu ayam dilihat secara menyeluruh dari aspek pengeluaran anak ayam, kos penternakan, kos dedak agar tidak mudah dimanipulasi oleh pihak kartel berkepentingan.

Menegaskan agar subsidi-subsidi bersasar yang direncanakan Kerajaan seharusnya benar-benar memanfaatkan kelompok rakyat terbanyak yang susah dan derita akibat kenaikan kos sara hidup. Ini termasuklah tidak sewenangnya menarik balik subsidi yang diberikan hanya kerana kelemahan aspek penguatkuasaan.

Mendokong keputusan Kerajaan untuk menarik balik keputusan awal bagi pengapungan harga ayam di pasaran dan tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan air. Begitu juga komitmen Kerajaan untuk terus menampung subsidi sebanyak RM5.8 bilion meskipun berlaku peningkatan tinggi kos bahan api dan kos penjanaan adalah disokong.

Ahmad juga berkata, mesyuarat juga telah memutuskan agar jentera pilihanraya UMNO di semua peringkat digemblengkan bersama dengan parti-parti komponen di bawah BN agar tahap kesiapsiagaan jentera BN keseluruhannya berada pada tahap yang tertinggi.

“MKT menegaskan kembali tentang perlunya Akta Anti Lompat Parti dibentang segera di Parlimen sebelum PRU-15.

“Akta Pendanaan Politik juga perlu diwujudkan agar garis panduan yang jelas mengenai kewangan parti dapat diadakan,” ujarnya.

Beliau berkata, dimaklumkan bahawa Hizatul Isham Abdul Jalil telah dilantik oleh Presiden UMNO dan mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO .

“Saudara Isham Jalil dikenali sebagai aktivis media sosial, berumur 46 tahun dan berkelulusan antara lain Sarjana Dasar Awam daripada Harvard University,” katanya. – SM

(Visited 69 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button