BanjirNasional

Kanak-kanak 6 tahun antara 10 hilang banjir di Pahang

SEBANYAK 10 individu dilaporkan hilang dipercayai dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir di Pahang dengan lapan daripadanya dipercayai melibatkan dua kejadian kepala air di Bentong.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri, Ismail Abdul Ghani, tiga termasuk seorang kanak-kanak berusia enam tahun hilang dalam kejadian di sebuah chalet malam tadi.

Beliau berkata, manakala lima lagi dilaporkan hilang dalam kejadian di Telemong.

“Dua lagi yang dilapor hilang dikhuatiri dihanyutkan arus deras dalam kejadian di Kuantan ialah Mohd. Halmi Nazlan, 34.

“Mangsa hanyut semasa melalui Jalan Pintasan Kampung Cempaka-Sungai Soi dan Mohd. Firdaus Supiardi, 26, yang dipercayai mengalami masalah mental dikatakan terjun ke Sungai Belat,” ujarnya.

Banjir yang melanda lapan negeri kelmarin (Sabtu) pada musim monsoon timur laut tahun ini menyaksikan lebih 41,000 orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Selangor menjadi negeri paling teruk terjejas akibat banjir sehingga menyebabkan beberapa kawasan diibaratkan seperti dilanda tsunami.

Kemusnahan harta benda termasuk kenderaan ditenggelami air dan beberapa rumah dihanyutkan air di sekitar Hulu Langat, Kampung Bandar tinggi dan Kuala Klawang di Negeri Sembilan.

Sementara itu, satu mayat lelaki dipercayai mangsa lemas ditemukan di jalan masuk utama ke Pangsapuri Alam Idaman, Seksyen 22, Shah Alam, Selangor selepas paras air di kawasan itu mulai surat malam tadi.

Pihak berkuasa termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) giat menjalankan usaha menyelamat dan menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein melalui Facebooknya membuat hantaran, anggota ATM dari 4 Divisyen diatur gerak dan berada di lapangan.

Gerakan ini, catat beliau adalah bagi membantu operasi banjir di Kuala Langat dengan antara fokus pasukan ini ialah melaksanakan penghantaran barang keperluan harian ke PPS.

Kementerian Dalam Negeri pula melalui Facebook memaklumkan penugasan memindahkan mangsa banjir diteruskan di kawasan Batu 14 Hulu Langat oleh Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih malam tadi.

Manakala operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir oleh Batalion 6 PGA Muar akan digerakkan ke Shah Alam.

Tidak kurang juga ramai yang terperangkap atau terkandas di dalam kenderaan akibat laluan tidak boleh dilalui berikutan kejadian runtuh atau jalan ditenggelami air.

Dan pagi ini kira-kira 450 individu yang terkandas di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak sejak semalam dibawa keluar secara berperingkat-peringkat termasuk dengan menggunakan bot Lebuhraya Pantai Timur.

Jurucakap ANIH Berhad turut memaklumkan khidmat lori tunda akan digunakan esok bagi mengeluarkan kenderaan yang tersangkut di lokasi berkenaan.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir malam tadi di tujuh negeri selain Kuala Lumpur terus meningkat kepada lebih 41,000 berbanding lebih 34,000 petang semalam.

Kesemua mangsa banjir kini berlindung di 417 PPS dengan Pahang mencatatkan angka paling tinggi iaitu 19,344 mangsa.

Laluan di KM76-KM126 Karak-Temerloh masih ditutup di kedua-dua hala setakat malam tadi manakala di KM114.8 Lanchang-Temerloh, air masih melimpah ke jalan namun boleh dilalui oleh semua kenderaan. – SM

(Visited 312 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button