Nasional

KWSP bantu pencarum imbangi keperluan melalui Akaun Fleksibel

BOLEH diakses pada bila-bila masa khususnya ketika kecemasan adalah elemen utama Akaun Fleksibel yang akan diperkenalkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada pencarumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, langkah itu akan membantu pencarum mengimbangi keperluan jangka masa pendek, sederhana dan panjang agar simpanan persaraan itu dapat memenuhi keperluan kitaran hidup di hari tua.
Katanya, fenomena penuaan yang pesat dan landskap kerja yang semakin berkembang ke arah tidak formal di Malaysia memerlukan KWSP menstruktur kembali akaun setiap pencarum tanpa menjejaskan simpanan bagi tujuan persaraan.
“Kesejahteraan hari tua rakyat kekal sebagai salah satu keutamaan kerajaan berikutan tahap perlindungan yang rendah di bawah skim pencen dan persaraan formal dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Pada masa ini, hanya 60 peratus daripada tenaga buruh dilindungi di bawah skim persaraan formal, iaitu Skim KWSP untuk pekerja swasta dan Skim Pencen Perkhidmatan Awam untuk penjawat awam.
“Menerusi Belanjawan 2024, KWSP berusaha untuk memperkukuh sumber dan peruntukan persaraan bagi memastikan maruah serta keselesaan rakyat terus terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah Amir Hamzah lagi, inisiatif tersebut dapat membantu rakyat Malaysia meningkatkan simpanan persaraan dan memupuk keharmonian serta kesejahteraan dalam keluarga.
“KWSP menyokong dan akan bekerjasama dengan kerajaan dalam merealisasikan aspirasi Malaysia Madani untuk memastikan kehidupan persaraan rakyat Malaysia terjamin,” katanya.
Ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan akaun ahli KWSP akan distrukturkan semula untuk memperkasakan simpanan persaraan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan memperkenalkan Akaun Fleksibel KWSP sebagai akaun baharu boleh diakses ahli pada bila-bila masa. – SM
(Visited 102 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button