Nasional

Hampir 100,000 terlibat laksanakan lockdown -KDN

Kerajaan menggerakkan hampir 100,000 petugas bagi memastikan ‘lockdown’ kali ini benar-benar berkesan dan dipatuhi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, anggota terbabit terlibat dalam penugasan sekatan jalan raya (SJR) dan pemantauan SOP.

”Susulan pengumuman pelaksanaan ‘lockdown’ di seluruh negara selama 14 hari bermula 1 hingga 14 Jun 2021, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengambil langkah-langkah tambahan bagi memastikan aspek penguatkuasaan dan pematuhan SOP dilaksanakan secara berkesan.
Sehubungan itu, kekuatan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditambah kepada 55,000 anggota sepanjang pelaksanaan ‘lockdown’ kali ini berbanding 37,000 anggota semasa. Disamping PDRM, KDN juga telah menggerakkan seramai 15,000 anggota lagi daripada agensi-agensi penguatkuasaan yang lain yang menjadikan jumlah kekuatan tambahan keseluruhan sebanyak 70,000 anggota.

”Walau bagaimanapun, KDN ingin memaklumkan bahawa kita bersedia untuk menambah jumlah anggota jika diperlukan melalui PDRM, JIM, APMM, RELA, ESCOMM, AKSEM, PENJARA, PKK serta AADK yang boleh digerakkan bagi tujuan penugasan tersebut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Selain itu, KDN melalui PDRM juga akan meningkatkan bilangan Sekatan Jalan Raya (SJR) di seluruh negara kepada lebih 800 SJR berbanding hampir 600 SJR pada masa ini.
Pemeriksaan secara mengejut juga akan dilaksanakan oleh Tim Pemantauan Pematuhan SOP dengan kerjasama kementerian dan agensi kerajaan berkaitan seperti MITI, KSM, KKR dan Pihak Berkuasa Tempatan bagi memastikan pematuhan SOP dalam kalangan sektor sosial dan ekonomi.

Jumlah Tim Pemantauan Pematuhan SOP tersebut akan dipertingkatkan kepada hampir 20,000 orang anggota berbanding 13,795 orang ketika ini. Pemeriksaan juga akan melibatkan kawasan di luar bandar dan lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai berkumpul.

Selain dari OP BENTENG, APMM dan Pasukan Polis Marin akan digerakkan untuk memperketatkan pematuhan SOP dan kawalan sempadan terutama di laluan-laluan panas yang menjadi tempat pendaratan pendatang asing bagi mencegah kemasukan secara haram.

Manakala JIM bersama JPN dan PDRM juga akan mempertingkatkan operasi penguatkuasaan secara bersepadu di kawasan-kawasan penempatan warga asing di seluruh negara.
KDN menasihatkan agar semua pihak memberikan kerjasama dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan bagi memastikan keberkesanaan pelaksanaan perintah ‘lockdown’ kali ini. Tindakan tegas tanpa kompromi seperti kompaun akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati tidak mematuhi SOP di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].
Untuk sebarang pertanyaan melibatkan KDN dan Jabatan-Jabatan di bawahnya berhubung pelaksanaan ‘lockdown’ kali ini, orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan seperti di bawah yang sudahpun beroperasi ketika ini. Manakala Bilik Gerakan KDN akan beroperasi 24 jam bermula 1 Jun 2021.

(Visited 123 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button