Nasional

Tiga projek rendah karbon berjaya dilaksanakan di Putrajaya dalam tempoh lima tahun

TIGA projek telah berjaya dijalankan di sini menerusi pelaksanaan Aplikasi Teknologi Hijau untuk Pembangunan Bandar Rendah Karbon (GTALCC) sejak 2017, kata Naib Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadlun Mak Ujud.

Beliau berkata projek itu ialah penggunaan basikal elektrik oleh kakitangan PPj pada 2019, penyediaan Pelan Tindakan Pengurangan dan Pengurusan Sisa Pepejal (2020) dan pemasangan laluan berbasikal di jambatan Seri Wawasan dan Seri Saujana (2021).

“Putrajaya adalah satu daripada bandar yang terpilih dalam projek ini khasnya dalam pelaksanaan Putrajaya Bikeable City iaitu inisiatif di bawah Focus Area Three menerusi Putrajaya Green City 2025,” katanya pada majlis penutupan kerjasama PPj dan GTALCC di bawah Putrajaya Inisiatif Bikeable City di sini pada hari Jumaat.

GTALCC ialah projek lima tahun bermula pada 2017 yang menyokong pelaksanaan inisiatif rendah karbon di bandar-bandar di Malaysia, dengan Kementerian Alam Sekitar dilantik sebagai penyelaras projek.

Bagi tahun ini, Fadlun berkata projek Laluan Berbasikal Putrajaya (PCR) akan melibatkan empat lokasi iaitu Kompleks PPj, Pusat Rekreasi Air Taman Wetland, Tangga Putrajaya dan Laman Perdana.

“Antara komponen yang disediakan ialah peta laluan, alatan baik pulih sendiri, rak basikal dan dispenser air,” katanya.

Beliau berkata fasa pertama PCR akan melibatkan pembinaan lapan laluan berbasikal sepanjang 180 kilometer. – SM

 

 

 

(Visited 377 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button