Berita

Jadikan budi bahasa tonggak keharmonian masyarakat – Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa pengertian budi adalah sifat yang menggambarkan peribadi insan yang mulia di mana budi bahasa juga merangkumi pekerti, akhlak, watak dan kelakuan yang baik, sopan, pemurah dan sebagainya yang disebut sebagai nilai-nilai murni. Nilai murni yang diterima dan diamalkan oleh masyarakat Melayu serta Malaysia adalah nilai sejagat yang dituntut oleh agama, kepercayaan, adat rasmi dan kebudayaan.

Berbudi bahasa itu sendiri membawa erti ’berbudi melalui bahasa’ atau ’bahasa sebagai budi’. Pengertiannya termasuk berbudi dengan harta, membantu dengan tulang empat kerat, memberi nasihat, memberi buah fikiran yang bernas, dan bermanis muka.

Budi bahasa penting bagi menjamin keharmonian bangsa yang pelbagai kaum. Menyedari kepentingannya, kempen Budi Bahasa harus diteruskan terutamanya kepada generasi teknologi hari ini.

Demikian titah penutupan baginda ketika berkenan berangkat mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Adat Istiadat Melayu Perlis Sidang Yang Ketiga Bagi Tahun 2021 yang diadakan secara dalam talian.

Hadir sama ialah Mufti Perlis Datuk Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin,, Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis Datuk Johari Mohd Darus dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor.


Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menambah bahawa budi bahasa juga dapat melahirkan bangsa Malaysia yang berhemah tinggi seterusnya bertoleransi dalam semua aspek kehidupan. Ini kerana, bangsa bertamadun dan mempunyai pemikiran kelas pertama lahir daripada pembudayaan budi bahasa dalam kehidupan seharian.

Menurut Tuanku Raja Muda lagi, ‘Jika semua masyarakat di negara ini terus saling mengamalkan amalan sopan santun dan bertatasusila sebagaimana yang ditekankan dalam Rukun Negara yang kelima, iaitu ‘kesopanan dan kesusilaan’, maka kesedaran masyarakat tentang pentingnya amalan budi bahasa itu dapat ditonjolkan sekaligus mewujudkan bangsa Malaysia yang berhemah tinggi.’.

(Visited 23 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button