fbpx
Nasional

Kumpul data warga gelandangan dapatkan bantuan kerajaan

Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengumpul data lebih 500 gelandangan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memudahkan kerajaan menyalurkan bantuan kepada mereka.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata sehingga kini terdapat 507 gelandangan ditempatkan di lima pusat komuniti dan dewan serbaguna Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Sentul, Ampang, Setiawangsa, Alam Damai dan Kepong.

Katanya berdasarkan tinjauannya semalam di Pusat Komuniti Sentul Perdana yang menempatkan 199 warga gelandangan mendapati ada dalam kalangan warga gelandangan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

“Mereka mendakwa mereka tidak (ada) wang untuk membuat kad pengenalan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sekali gus menyukarkan mereka mendapatkan bantuan kerajaan.

“Jadi, kami akan berusaha untuk mengumpul data peribadi mereka bagi membantu memohon pelbagai bantuan seperti Bantuan Sara Hidup, Bantuan Prihatin Nasional serta menjejaki ahli keluarga dan saudara-mara mereka.

“Masalah mereka tidak seharusnya dibiarkan berpanjangan tanpa diberi perhatian,” katanya ketika siaran langsung Facebook hari ini.

Annuar berkata DBKL turut akan meningkatkan kemudahan di pusat-pusat komuniti itu seperti selimut dan kubikel kepada gelandangan wanita yang mempunyai anak kecil.

“Setakat ini saya lihat mereka tidur secara terbuka, tiada privasi sama seperti dorm,” katanya.

Sementara itu, katanya setakat semalam sebanyak 26 kes positif COVID-19 dilaporkan di Parlimen Batu, Kepong (12), Segambut (60), Bukit Bintang (45), Lembah Pantai (27) dan Seputeh (316).

“Jumlah besar yang dilaporkan di Seputeh adalah kerana kebanyakan kes berlaku di Masjid Jamek Seri Petaling yang terletak di parlimen itu,” katanya.

Katanya seramai 51 anggota terdiri daripada polis, tentera, RELA dan penguat kuasa DBKL telah ditugaskan di Menara City One, Jalan Munshi Abdullah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Bagi golongan media yang membuat liputan di kawasan itu, anda dinasihatkan untuk mematuhi jarak sosial kerana mendapati ramai dalam kalangan mereka tidak mematuhi arahan itu ketika menjalankan tugas,” katanya. – BERNAMA 

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button