Nasional

KPDN komited kekang ketirisan subsidi diesel

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) masih meneruskan OPS TIRIS sehingga 31 Ogos ini.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, OPS TIRIS diteruskan sebagai susulan pembentangan Belanjawan Malaysia Madani 2023 oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada 24 Februari lalu.

Anwar menyentuh tentang kewujudan ketirisan dalam pelaksanaan subsidi diesel yang dianggarkan berjumlah hampir RM10 bilion.

“Pelaksanaan OPS TIRIS antara lain bertujuan bagi memastikan pelaksanaan subsidi diesel tidak mengalami ketirisan dan sampai ke pihak yang layak menerimanya.

“Berdasarkan statistik penguatkuasaan OPS TIRIS bermula 1 Mac 2023 sehingga 5 Julai 2023, 7,625 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, 309 kes telah dihasilkan melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM27.03 juta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, jumlah rampasan minyak diesel sepanjang tempoh yang sama adalah sebanyak 3.36 juta liter.

Katanya lagi, pihak KPDN komited dalam memperkasakan penguatkuasaan bagi menjamin kestabilan kos sara hidup dan kestabilan ekonomi menerusi pelaksanaan OPS MANIS.

Untuk rekod, OPS MANIS yang dilancarkan pada 3 Mei lalu dan diteruskan dengan OPS MANIS 2.0 pada 6 Jun, baru-baru ini telah tamat pelaksanaannya pada 30 Jun lalu antara lain bertujuan memastikan tidak berlaku aktiviti menyorok gula oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan mengelak pembelian panik oleh pengguna yang boleh menyebabkan gangguan ke atas bekalan bahan itu di pasaran.

“Berdasarkan statistik penguatkuasaan OPS MANIS dan OPS MANIS 2.0 bermula 3 Mei sehingga 30 Jun, sebanyak 6,276 pemeriksaan telah dilaksanakan di seluruh negara manakala 109 aduan telah diterima dalam tempoh yang sama.

“Daripada jumlah itu,20 kes telah dihasilkan melibatkan kesalahan seperti mengenakan syarat penjualan yang tidak sah, menjual melebihi harga kawalan, membungkus gula tanpa kebenaran Pengawal Bekalan dan memberi gambaran mengelirukan mengenai harga jualan gula,” ujar beliau.

Beliau juga berkata, KPDN sentiasa komited dan akan meneruskan pemantauan rapi ke atas keberadaan bekalan barang-barang kawalan terutamanya gula meskipun OPS MANIS 2.0 telah tamat tempoh pelaksanaannya.

Berdasarkan pemantauan yang telah dilakukan di seluruh negara, kata Azman, setakat ini mendapati bekalan gula dalam negara telah kembali pulih dan stabil.

“Pengguna juga disaran untuk terus berhemah di dalam menggunakan gula dalam kehidupan seharian mereka kerana penggunaan gula secara berlebihan boleh menjejaskan kesihatan pengguna itu sendiri,” katanya. – SM

BACA Penyeludup simpan nombor kenderaan peribadi pegawai, pejabat KPDN Perlis

BACA Tiada kompromi syarikat gagal kemuka resit pembelian-KPDN

(Visited 119 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button