fbpx
NasionalUncategorized

Ketua Perangkawan kagum konsistensi ‘MAIPs Peduli RMPs’

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin melahirkan kekaguman atas kesungguhan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang telah mengetuai siri program MAIPs Peduli sejak tahun 2013 lagi sehingga hari ini.

Demikian diucapkan beliau diakhir program kayuhan bagi menjejaki dan menyantuni asnaf anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kali ke 45 bagi tahun 2020 yang bermula dan berakhir di Pusat Pengajian Sunnah MAIPs, Kompleks Masjid Lama Arau.

“Selain dapat mengagihkan sumbangan kepada asnaf yang perlu, program ini juga merupakan satu medium yang cukup efektif ke arah penyaluran maklumat antara jabatan dan agensi-agensi dalam memperteguhkan sistem penyampaian kerajaan,” tambah beliau.


Program menjejaki asnaf anjuran (MAIPs) tersebut telah dilaksanakan secara konsisten dan telah dilaksanakan sebanyak 609 kali sejak tahun 2013 melibatkan pengagihan sebanyak RM21,765,600 kepada 34,679 asnaf di seluruh negeri Perlis.

Baginda turut berkenan singgah di 3 buah rumah asnaf terpilih di kawasan Arau bagi menyerahkan agihan zakat MAIPs dan sumbangan iklhlas daripada warga Pejabat Jabatan Perangkaan Negeri Perlis selain singgah di sebuah tapak pembangunan pelancongan berkonsepkan warisan di bekas tapak stesen keretapi Arau yang sedang dirancang oleh Ummul Travel and Tours.

Terdahulu daripada itu, Tuanku Raja Muda Perlis ketika berkenan menerima sembah mengadap Mohd Uzir menitahkan bahawa usaha memperkasakan perkongsian data antara agensi akan dapat memperkukuhkan lagi pentadbiran kerajaan.

Titah Baginda lagi, statistik merupakan keutamaan dalam aspek pemantapan pengurusan negara kerana data yang tepat dan menyeluruh akan dapat memberikan gambaran yang sebenar untuk perancangan besar dalam pengurusan negara.

“Sudah tiba masanya pengurusan data yang tersusun dapat digunakan dengan sebaiknya bukan sahaja melibatkan agensi, namun ianya turut dapat digunakan oleh masyarakat untuk melaksanakan apa-apa tindakan yang boleh memanfaatkan” tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi.

Untuk rekod, projek bancian yang memasuki tahun keenam itu melibatkan kira-kira 32.7 juta penduduk dan sembilan juta tempat kediaman yang dijalankan dalam dua fasa. Fasa pertama bermula 7 Julai hingga 30 September dilakukan melalui e-Census, manakala fasa kedua akan bermula 7 hingga 24 Oktober menggunakan kaedah temu ramah secara bersemuka.

Show More

Related Articles

Back to top button