PolitikUncategorized

Arabath Ali Arul Alavudeen sedia cabar Siti Kassim di Parlimen Batu

TIADA yang mustahil menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti jika nama Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Arabath Kuala Lumpur, sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Arabath Ali Arul Alavudeen menjadi calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Batu.

Arabath, 35, ialah seorang akauntan dan ahli perniagaan, aktif dengan kerja-kerja kebajikan dan amal melalui NGO dan dewan perniagaan apabila sering turun padang mendekati orang ramai.

Arabath yang juga ahli UMNO berkata, beliau bersama lebih 30 pertubuhan NGO di bawahnya bersedia untuk menggerakkan jentera pilihan raya bagi membantu BN merampas kembali Parlimen Batu yang dikhabarkan, ramai calon akan bertanding di kerusi itu pada PRU15 ini.

ARABATH ALI ARUL ALAVUDEEN menjawab soalan pemberita pada Majlis Pelancaran Jentera BN PRU15 Parlimen Batu Peringkat Cawangan /NGO/Konuniti.

“Saya telah melaksanakan lebih 250 misi bantuan termasuk program kebajikan, pendidikan dan sosio-ekonomi di Parlimen Batu.

“Saya yakin, masyarakat dan komuniti di kawasan Parlimen Batu bukan sahaja pandai tetapi mampu menilai calon yang boleh membantu mereka pada masa hadapan,” katanya.


Beliau berkata, fokusnya ialah untuk membantu golongan miskin bandar terutamanya dalam golongan B40.

Arabath berkata demikian pada sidang media pada Majlis Pelancaran Jentera BN PRU15 Parlimen Batu Peringkat Cawangan/ NGO/ Komuniti, malam tadi.

Untuk rekod, antara kelebihan Arabath untuk diangkat sebagai calon ialah beliau berketurunan India Muslim dan fasih bertutur dalam bahasa Tamil.

Faktor itu mungkin salah satu daya tarikan para pengundi kerana biasanya calon kerusi Parlimen Batu adalah bukan Melayu dan pengundi bukan Melayu lebih ramai daripada pengundi Melayu.

Dianggarkan Parlimen Batu mempunyai seramai 112,000 pengundi selepas diambil kira pengundi 18 tahun dan pendaftaran secara automatik.

Pecahan undi mengikut kaum di kawasan itu ialah Melayu sebanyak 43 peratus, Cina (30 peratus), India (20 peratus) dan lain-lain, tujuh peratus.

Media sebelum ini melaporkan, Parlimen Batu dijangka menjadi antara kerusi paling panas pada PRU15 kerana menjadi tumpuan lebih tujuh calon bebas serta parti-parti yang bertanding.

Antara yang bakal menawarkan diri untuk bertanding di Parlimen Batu ialah peguam dan aktivis hak asasi manusia, Siti Zabedah Kasim yang dikenali Siti Kasim.

Selain itu, Tian Chua juga dikatakan akan kembali semula ke Parlimen Batu selepas tidak bertanding pada PRU14 yang dimenangi calon bebas M. Prabakaran dan kemudiannya menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Parlimen Batu merupakan kubu kuat PKR di mana sejak 2008, Tian Chua telah memegang selama dua penggal sebagai Ahli Parlimen Batu tetapi pada 2018, kerusi itu dimenangi calon bebas, M. Prabakaran dengan majoriti yang tinggi selepas Tian Chua tidak layak bertanding pada ketika itu.

Selepas memenangi kerusi itu pada PRU-14, Prabakaran telah menyertai PKR.

Prabakaran dijangka bertanding semula di Parlimen Batu berdasarkan kekuatan sebagai wakli rakyat pada hari ini apatah lagi berjaya mengalahkan Tian Chua untuk jawatan Ketua Cabang PKR baru-baru ini. – SM

(Visited 327 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button