Politik

UMNO tidak akan bekerjasama dengan PKR – Zahid

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akhirnya merungkai kekalutan ekoran dakwaan terdapat perbincangan parti itu dengan PKR untuk bekerjasama pada pilihan raya akan datang.

Ahmad Zahid berkata, UMNO tidak akan bekerjasama dengan PKR pada pilihan raya akan datang dan hanya akan bergerak dengan rakan-rakan komponennya Barisan Nasional (BN).

“Parti tidak mengadakan perbincangan dengan PKR mengenai kerjasama politik dan sebarang kemungkinan hanya akan diterokai selepas PRU-15,” katanya dalam wawancara dengan The Star.

Mengulas mengenai beberapa laporan bahawa terdapat perbincangan mengenai kerjasama politik dengan Presiden PKR, jelas Ahmad Zahid, tidak ada perbincangan sama ada, baik secara formal atau tidak rasmi dengan presiden parti itu.

“Tidak dengan saya, tidak juga dengan Mat Hassan (timbalan presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan),” katanya.

Penjelasan Ahmad Zahid adalah menjelang perhimpunan agung parti terbesar orang Melayu itu yang akan diadakan pada hujung minggu ini.

UMNO akan mengadakan Perhimpunan Agung 2020 pada 27 Mac dan 28 Mac ini di mana ia bakal mencatat sejarah tersendiri kerana pertama kalinya akan diadakan secara kombinasi bersemuka dan maya di Dewan Merdeka, PWTC dan secara maya di 190 UMNO Bahagian-bahagian.

Ketika ditanya apakah ada pemimpin UMNO lain yang bertemu dengan Anwar mengenai hal ini, Ahmad Zahid berkata “Anda harus bertanya kepadanya dengan siapa dia ( Anwar) berbincang tetapi Umno tidak membenarkan wakil untuk mengadakan perbincangan seperti itu,” katanya lagi.

Mengulas lanjut mengenai adakah UMNO bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan PKR itu, Jelas Ahmad Zahid, buat masa ini, tidak ada diskusi dengan parti-parti di dalam Pakatan Harapan itu.

“Tidak ada diskusi, tidak dengan PKR, tidak dengan DAP, tidak dengan Pakatan Harapan,” tegasnya.

Menyentuh kerjasama UMNO dengan Pas, Ahmad Zahid mengatakan kedua-dua parti masih bekerjasama dalam semangat Muafakat Nasional.

“Tetapi terserah kepada mereka. Sekiranya mereka merasa lebih selesa bekerja dengan pihak lain, mereka boleh melakukannya, ”katanya.

Pas dan UMNO membentuk gabungan Muafakat Nasional pada tahun 2019, tetapi ia juga merupakan anggota gabungan Perikatan Nasional dengan Bersatu dan tiga parti lain.

Ahmad Zahid sebelum ini mengejutkan banyak pihak apabila menyatakan tidak menghalang mana-mana pihak yang mahu menyokong PKR.

Kenyataan itu dibuat ketika pilihan raya negeri Sabah, di mana kemelut bagi melantik bakal ketua menteri setelah Perikatan Nasional (PN) menang di negeri berkenaan.

UMNO akhirnya beralah memberi laluan kepada pemimpin Bersatu untuk mengangkat sumpah sebagai ketua menteri.

Sejak itu pelbagai spekulasi ditimbulkan termasuk kerjasama PKR dan DAP pada pilihan raya akan datang bagi membentuk sebuah kerajaan yang kuat.

UMNO sekali berura-ura bekerja sama dengan DAP di Perak ketika mahu menyingkirkan menteri besar dari Bersatu.

(Visited 425 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button