Politik

Bekalan air: KM P. Pinang ancam saman MB Kedah

KETUA Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow memberi amaran untuk menyaman Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor sekiranya meneruskan projek yang boleh mendatangkan kesan terhadap bekalan air di Pulau Pinang.

Kon Yeow berkata,  Muhammad Sanusi Md Nor tersilap jika menyangka Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak akan bertindak balas.

“Sekiranya Menteri Besar Kedah ini berpendapat bahawa beliau sewenang-wenangnya dapat melaksanakan projek di Kedah yang secara langsung mengancam bekalan air di Pulau Pinang, beliau silap.

“Sekiranya projek beliau memberi kesan buruk kepada Pulau Pinang, kita akan bertindak segera untuk menghentikannya serta-merta,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Tegasnya, antara langkah termasuk mengemukakan bantahan rasmi kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengusulkan bantahan untuk dibahaskan di Parlimen.


Selain itu beliau turut mempertimbangkan mengambil tindakan undang-undang untuk mendapatkan injunksi mahkamah untuk menghentikan projek tersebut.

“Sekiranya projeknya menimbulkan penderitaan bagi penduduk Pulau Pinang dan kerugian kepada perniagaan yang beroperasi di Pulau Pinang, kita mungkin akan saman beliau atas kos dan kerosakan,” katanya.

Beliau mendakwa, terdapat undang-undang negeri dan persekutuan yang menghalang projek baru di Sungai Muda di Kedah sekiranya memberi kesan buruk atau menjejaskan perkhidmatan bekalan air di Pulau Pinang.

Tegas beliau, semua skim berkaitan air yang dicadangkan Menteri Besar Kedah juga tertakluk kepada kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, Kedah juga berkemungkinan memerlukan dana Persekutuan, dalam bentuk pinjaman atau geran untuk menjalankan projek berkaitan air.

“Oleh itu, Menteri Besar Kedah boleh mencadangkan, tetapi Kerajaan Persekutuan dan/atau undang-undang negara boleh melupuskannya.

“Secara ringkasnya, Kedah tidak boleh menjalankan projek yang melibatkan Ulu Muda yang tidak sah atau tidak dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan.

Selain itu Kon Yeow menegaskan, Pulau Pinang akan terus mematuhi undang-undang dalam mengambil air mentah dari Sungai Muda tanpa sebarang pembayaran kepada Kedah.

Katanya, sejak tahun 1973, Pulau Pinang secara sah mengabstrak air mentah dari Sungai Muda tanpa memberi sebarang pembayaran terhadap negeri tersebut.

“Tiada pembayaran yang berlaku kerana tidak ada alasan perundangan yang bagi Pulau Pinang membayar Kedah.

“Pulau Pinang tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian, MoU atau kontrak untuk membayar Kedah,” kata Kon Yeow.-SM

 

(Visited 104 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button