Nasional

Kes baharu Covid-19 melebihi 11,000: Menteri Kesihatan umum pengurusan pandemik

SATU sidang media khas diadakan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba berhubung pengurusan pandemik Covid-19 di Lembah Klang , Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya pada hari ini adalah untuk menerangkan berkenaan beberapa isu penting yang sedang berlaku berhubung Covid-19.

Ini termasuklah perkara-perkara yang telah ditularkan baru-baru ini dan kata Adham, fokus beliau ialah kea rah pelan strategi Pengurusan Pandemik Covid-19 di Lembah Klang.

Beliau turut mengumumkan, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah bersetuju untuk menambah bajet sebanyak RM100 juta bagi tujuan outsourcing perkhidmatan-perkhidmatan kesihatan yang berkaitan khususnya di Lembah Klang.

“Oleh yang demikian, langkah-langkah strategik menangani peningkatan kes Covid-19 yang mendadak di Lembah Klang kini dilaksanakan seperti berikut iaitu menambah baik pengurusan pesakit di hospital.

“Menambah dua buah Hospital Full Covid-19 iaitu Hospital Sungai Buloh dan Hospital Ampang bermula 23 Jun 2021.

“Hospital Ampang mempunyai kapasiti 577 buah katil manakala hospital lain dijadikan sebagai Hospital Hybrid Covid-19 kecuali Hospital Shah Alam yang dikekalkan sebagai Hospital Non-Covid-19).

“Menambah kapasiti katil di semua hospital di Lembah Klang iaitu daripada kapasiti 3,412 katil kepada 3,777 katil di Selangor manakala daripada 795 katil kepada 1,129 katil di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya.

Selain itu, kerjasama yang dibuat dengan tiga hospital pengajar universiti iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM dan Hospital Pengajar UPM bagi mengoptimumkan penggunaan katil di  ketiga-tiga hospital tersebut, menjadikan keseluruhan katil bagi perawatan Covid-19 di Lembah Klang melebihi kapasiti 5,000 katil, kata Adham.

“Kita juga akan memperluaskan skop perkhidmatan PKRC MAEPS 2.0 sebagai Hospital Bersepadu MAEPS yang berfungsi sama seperti hospital kerajaan lain bagi memberi perawatan pemulihan, perawatan kecemasan kes Covid-19 kategori 3 dan 4 dengan menambah kapasiti oksigen kepada lebih 1,500 pesakit.
“Pada masa ini, terdapat 4,888 buah katil di PKRC MAEPS 2.0 bagi tujuan tersebut,” ujar beliau.

Adham berkata, akan ada penambahan kapasiti rawatan kecemasan khususnya di Selangor dengan meningkatkan lagi jumlah katil kecemasan daripada 486 kepada 591 buah katil.

“Tambahan kapasiti perawatan di ICU hospital daripada 280 katil kepada 349 di Selangor juga akan dilakukan manakala bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, tambahan daripada 90 buah katil kepada 117 buah katil,” katanya.

Untuk makluman, jelas Adham, jumlah bekalan oksigen di seluruh Selangor pada masa ini adalah 6,391 buah (port dan tangki) dengan pencapaian pengunaan sebanyak 3,413 buah (53%).

Bagi meningkatkan lagi kapasiti oksigen di PKRC MAEPS yang dijadikan sebagai Hospital Bersepadu dalam perawatan Covid-19, penambahan sebanyak 1,000 tangki oksigen serta 1,000 “oxygen concentrator” telahpun dilakukan, kata beliau.

Dalam masa yang sama, Adham juga memberitahu, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM) juga telah mengaktifkan Disaster Management Zone (DMZ).

“Ia melibatkan kawasan basement yang dilengkapi dengan katil, bekalan oksigen berpusat, vacuum ports dan sistem pendawaian elektrik khas.

“Kompleks rawatan ini serta hospital medan dapat menyediakan kapasiti hingga 150 katil,” kata beliau.

Selain itu, kapasiti ICU di HATTM juga telah ditingkatkan dengan penambahan 17 katil termasuk keperluan ventilator, menjadikan keseluruhan kapasiti sebanyak 25 buah katil, katanya.

“Bagi Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, penambahan katil bagi perawatan Covid-19 telah ditambah sebanyak 151 katil wad.

“Jabatan Kecemasan Hospital Serdang telah menukar Zon Merah Kecemasan kepada Zon Merah Covid-19 kerana peningkatan jumlah kes pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan oksigen dan penyumberluaran rawatan pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta juga telah pun dilaksanakan dari HTAR dan beberapa hospital KKM di Lembah Klang,” jelas beliau.

Adham juga berkata, penyumberluaran pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta bertujuan untuk membolehkan HTAR serta hospital KKM di Lembah Klang meningkatkan kapasiti bilangan katil Covid-19.

Katanya, Perdana Menteri juga telah mengarahkan penambahan segera 151 katil di Kompleks Rawatan Ibu dan Anak (KRIBA) serta tambahan 15 ventilator bagi kegunaan HTAR.

“Perdana Menteri mahu aspek kesihatan mental di kalangan anggota dan rakyat sentiasa diberikan perhatian secara serius bagi memastikan kebajikan dan moral kakitangan terus dijaga.

“Kesihatan Awam Covid-19 Assessment Centre (CAC) akan dioperasikan pada setiap hari di kesemua CAC sedia ada.

“Tambahan petugas telah dan sedang diuruskan oleh KKM dengan mengambil kira kehadiran pesakit yang menghadapi masalah pernafasan.

“Justeru CAC juga akan dilengkapkan dengan keperluan oksigen sementara pesakit menunggu rujukan ke PKRC MAEPS atau hospital,” katanya.

Beliau menambah, aka nada perluasan Value Added System (VAS) Perkhidmatan Farmasi seperti perkhidmatan – ubat-ubatan secara pandu lalu dan secara pos, preskripsi jangka panjang hingga 6 bulan.

“Kita juga akan meningkatkan liputan vaksinasi Covid-19 di semua pusat pemberian vaksin termasuk di klinik-klinik kesihatan, PPV Awam, SPPV, PPV Integrasi, PPV Mega, outreach dan secara pandu lalu,” katanya.

Bagi lokaliti yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), kata Adham, langkah akan dibuat bagi memastikan semua individu yang layak boleh mendapatkan vaksinasi.

“Program vaksinasi kepada pihak industri juga akan diberikan keutamaan. Oleh itu, pendekatan ini akan dibincangkan segera antara pihak kementerian MOSTI, MITI dan Kerajaan Negeri,” katanya.

Pemantauan dan pematuhan SOP secara menyeluruh, ujar Adham, akan terus dilaksanakan dengan melibatkan masyarakat awam di pelbagai peringkat seperti jawatankuasa kampung, rukun tetangga dan jawatankuasa taman-taman perumahan dan sebagainya.

“Selain petugas tetap dan kontrak yang telah ditempatkan di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, KKM telahpun menambah segera sejumlah 1,190 petugas kesihatan di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

“KKM juga telah memobilisasikan seramai 417 petugas kesihatan dari negeri lain ke Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan,” ujar beliau.

KKM juga akan menambah lebih kurang 5,000 petugas/sukarelawan untuk menyokong penyampaian perkhidmatan di Lembah Klang dan Negeri Sembilan. – SM

(Visited 189 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button