Politik

Kerap memecat orang, bolehkah Zahid dipecat?

RAMAI yang menganggap pengumuman hasil mesyuarat MKT UMNO malam tadi oleh Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai aksesori sahaja.

Tidak ada yang menarik selain menyokong apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Hakikatnya tidak begitu, kerana Zahid kini sedang membersihkan kepimpinan tertinggi UMNO daripada mereka yang menentangnya.

Ada yang mengatakan adalah perkara biasa pemecatan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dari menganggotai MKT setelah beliau dilantik sebagai Duta Malaysia di Indonesia.

Tidak logik untuk Tajuddin bertugas di Indonesia, pada masa yang sama beliau perlu berkhidmat untuk parti.

Jadi lebih sesuai jawatan itu dilepaskan memberi laluan kepada mereka yang tidak mempunyai jawatan seperti Isham Jalil yang baharu dipecat sebagai Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor.

Ini bukan kali pertama Zahid memecat pemimpin UMNO kerana tidak sehaluan dengan beliau, justeru apabila ada yang bercerita tujuan pelantikan Isham bagi meremajakan UMNO, ia satu alasan yang sangat tidak dapat diterima akal.

Isham juga bila-bila masa sahaja boleh dipecat jika tidak lagi sehaluan dengan Zahid kerana UMNO kini menjadi parti Zahid.

Bagaimanapun Zahid lupa satu perkara beliau sendiri boleh dipecat iaitu daripada jawatan Pengerusi BN. Barisan Nasional dianggotai oleh UMNO, MCA, MIC dan beberapa parti komponen lain.

Jika para pemimpin melihat Zahid tidak lagi mempunyai kredibiliti sebagai Pengerusi, beliau boleh dipecat. Jika dipecat bermakna Zahid akan kehilangan kuasa mengeluarkan watikah kepada calon BN pada pilihan raya akan datang.

Sedangkan modal itulah yang digunakan bagi menakut-nakutkan lawannya, walaupun beliau sendiri belum tentu nasibnya jika tersandung kes mahkamah beliau secara automatik akan digugurkan daripada menyandang jawatan itu.

Jika dijalankan pemilihan UMNO sebelum kemungkinan besar beliau akan kalah teruk kerana dilihat tidak kompeten untuk mengemudi parti kerana sering mengheret masalah peribadi ke dalam parti.

Selain itu beliau juga menyebabkan UMNO berpecah-belah kepada beberapa kumpulan, walaupun ia bukan perkara baharu di dalam parti itu, tetapi kali ini ia lebih buruk kerana pemimpin yang memihak kepada Zahid melakukan serangan terbuka terhadap ahli parlimen UMNO yang menganggotai kabinet Ismail Sabri.

Ketika Perdana Menteri bertungkus-lumus menstabilkan politik dan menyantuni rakyat, sebagaimana yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Zahid dan pentaksubnya galak menyerang kerana dan cuba membunuh karaktor Ismail Sabri sebagai seorang pemimpin yang lemah.

Sikap berlebihan Zahid dan para pentaksubnya kini menyebabkan perbuatan itu telah memakan diri mereka sendiri kerana Ismail Sabri mengambil sikap tidak melayan krtikan ke anak-anakkan itu, sebaliknya menumpukan kepada kerja yang masih banyak perlu dilaksanakan sebelum tamat mandat pemerintahan pada tahun hadapan.

(Visited 518 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button