Nasional

Kerana cemburu, wanita nyaris maut diserang bekas suami

HANYA kerana cemburu, seorang wanita nyaris maut selepas bekas suaminya melepaskan satu das tembakan ke arah keretanya di Kampung Tapang, Kelantan malam tadi.

Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.30 malam ketika mangsa yang berusia 30 tahun sedang memandu kereta jenis Kia Rio bersama tiga anaknya berusia lingkungan tiga hingga 13 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris, wanita tersebut pada mulanya sedar yang bekas suaminya itu telah mengekorinya.

“Tidak lama kemudian, mangsa terdengar bunyi seakan tembakan yang mengakibatkan cermin bahagian kanan belakang kenderaannya pecah.

“Bagaimanapun wanita itu dan tiga anaknya tidak cedera,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati terdapat satu kesan berlubang dan retak pada cermin kereta mangsa.

Namun ujarnya, pihaknya tidak boleh mengesahkan sama ada kesan itu adalah akibat senjata api atau senjata lain.

Dalam pada itu, katanya, seorang lelaki yang dipercayai bekas suami mangsa ditahan di rumahnya di Kampung Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) kira-kira jam 7 pagi tadi.

Wan Khairuddin berkata, perintah reman akan dimohon terhadap suspek berusia 30-an itu bagi menjalankan siasatan lanjut.

“Kita percaya kejadian bermotifkan cemburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK) atas kesalahan cubaan bunuh,” katanya. -SM

(Visited 204 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button