Nasionalpilihan

Tren Shuttle Tebrau antara JB Sentral dan Woodlands dibuka semula mulai hari ini

PERKHIDMATAN Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Tren Shuttle Tebrau di antara Stesen JB Sentral dan Stesen Woodlands, Singapura yang telah dihentikan selama dua tahun bermula 24 Mac 2020 berikutan penutupan sempadan semasa pandemik Covid-19 akan bermula semula hari ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, latihan pengoperasian semula Shuttle Tebrau itu sudah bermula sejak Selasa lalu sebagai persediaan.

Katanya, latihan pengoperasian dibuat bagi memeriksa gerakan gerabak, ciri keselamatan, sistem penjualan tiket dan operasi supaya perkhidmatan berkenaan lancar.

“Tiket perkhidmatan Shuttle Tebrau mula dijual pada 13 Jun lalu bagi perjalanan 19 Jun sehingga 18 Julai 2022.

“Setakat Jumaat lalu, sebanyak 68,070 tiket dijual dengan penjualan tiket yang lebih awal ini dapat membantu pengguna merancang perjalanan mereka khususnya rakyat Johor yang berulang-alik berkerja di Singapura. Setiap hari ada 31 trip atau perjalanan Shuttle Tebrau yang bermula jam 5 pagi sehingga 11.45 malam, dengan 13 perjalanan dari Malaysia-Singapura dan 18 perjalanan dari Singapura-Malaysia.

“Perkhidmatan Tren Shuttle Tebrau ini mampu menampung kapasiti maksimum seramai 320 penumpang setiap trip atau perjalanan dan dijangkakan seramai 7,000 penumpang sehari akan menggunakan perkhidmatan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelepasan perkhidmatan Tren Shuttle Tebrau di JB Sentral, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Pengerusi KTMB, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin.

Perkhidmatan Tren Shuttle Tebrau mengekalkan tambang sedia ada iaitu RM5 sehala bagi perjalanan dari JB Sentral ke Woodlands dan SGD5 dari Woodlands ke JB Sentral.

Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, penyambungan semula perkhidmatan Tren Shuttle Tebrau itu memberi manfaat kepada ribuan rakyat Malaysia yang berulang alik bekerja ke republik itu.

“Dengan beroperasinya semula kemudahan mesra rakyat ini, saya percaya ia akan membantu mengurangkan kesesakan trafik di Tambak Johor khususnya pada waktu-waktu puncak, sekaligus merancakkan lagi kegiatan sosio-ekonomi negeri.

“Tahniah dan terima kasih kepada semua pihak, khususnya Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Pengerusi KTMB, Datuk Musa Sheikh Fadzir serta seluruh warga KTMB, semua agensi-agensi negeri dan persekutuan yang telah berusaha memastikan perkhidmatan tren ini kembali beroperasi semula hari ini,” kata Onn Hafiz. – SM

Artikel berkaitan > KTMB permudahkan pelanggan: perkenal kios tiket layan diri tanpa tunai

(Visited 429 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button