Nasional

Kerajaan setuju beri dos ketiga vaksin Covid-19

KERAJAAN bersetuju untuk melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin COVID-19 sebagai usaha untuk meningkatkan perlindungan kepada golongan rentan daripada risiko jangkitan COVID-19.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, keutamaan pemberian dos ketiga akan tertumpu kepada kumpulan yang berisiko tinggi terlebih dahulu.

Kumpulan terbabit antaranya anggota barisan hadapan kesihatan, pesakit kurang daya tahan imun (immunocompromised), warga tua dengan komorbiditi dan individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang.

Menurutnya pemberian dos ketika akan dilaksanakan apabila liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara melebihi 80 peratus.

“Dos ketiga ini dapat meningkatkan tahap imuniti dalam kalangan individu berisiko tinggi terhadap jangkitan COVID-19, yang mungkin menurun dalam tempoh tertentu selepas dos kedua.

“Untuk itu, panel pakar perubatan dan kesihatan sedang membangunkan garis panduan pelaksanaan pemberian dos ketiga ini,” katanya.

Tambah Ismail Sabri, semua perincian berhubung pelaksanaan pemberian dos ketiga vaksin COVID-19 akan diumumkan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Malaysia dijangka akan mencapai liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara melebihi 80 peratus dalam beberapa hari lagi.

Sehingga semalam 78.2 peratus daripada populasi dewasa di seluruh negara telah lengkap menerima kedua-dua dos vaksin Covid-19.-SM

(Visited 195 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button