Politik

Kerajaan perpaduan solusi terbaik negara

ISU perpaduan sering dianggap remeh oleh kebanyakan orang.

Hinggakan portfolio berkenaan biasanya diberikan kepada ahli politik yang suam-suam kuku dan peruntukkan yang hanya cukup makan.

Hasilnya perpaduan negara kita semakin getir dan keadaan menjadi semakin buruk apabila terdapat ahli politik yang gemar menunggang agama serta bangsa yang akhirnya melebarkan lagi jurang pemisah antara kaum.

Kalau di negara tetangga iaitu Indonesia parti yang bergerak di atas landasan kaum dan agama semakin tidak popular, bahkan media di negara berkenaan akan bertindak mengecam mana-mana ahli politik yang cuba memainkan sentimen sedemikian.

Walaupun Indonesia sebuah negara yang mempunyai penganut Islam terbesar di dunia, mereka sedar bahawa kesaksamaan harus diutamakan.

Di Malaysia ia baharu memasuki fasal awal untuk membentuk sebuah negara yang lebih saksama.

Ia bukanlah idea yang popular dan ia dapat dilihat apabila hanya 11 peratus orang Melayu yang mengundi Pakatan Harapan (PH), manakala selebihnya mengundi Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

BN terdiri daripada komponen parti berasaskan kaum iaitu MIC bagi kaum India, MCA bagi kaum Cina dan Umno untuk orang Melayu.

PN pula dianggotai oleh komponen utama Bersatu iaitu serpihan Umno dan Pas parti berasaskan Islam.

Bersatu sifatnya tidak jauh berbeza dengan Umno, manakala Pas sekian lama dengan perjuangan Islam untuk keadilan semua.

Pas pernah bekerjasama dengan DAP, namun DAP yang menjadi tonggak PH tidak juga berubah terus menjadi parti cauvinis dipenuhi dengan pemimpin berfahaman sosialis dan sosialis ekstrem.

Setakat beberapa hari menganggotai kerajaan perpaduan, DAP masih berkelakuan baik berbanding ketika menjadi kerajaan 22 bulan selepas menang pada pilihan raya ke-14.

Sikap mereka banyak mengguris perasaan orang Melayu menyebabkan mereka ditolak oleh orang Melayu.

DAP jugalah yang menarik sokongan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika beliau mahu membentuk kerajaan perpaduan sehingga kerajaan ketika itu tumbang dan diganti dengan kerajaan Perikatan Nasional.

Dr. Mahathir yang menjadi perdana menteri kali kedua gagal mengawal tingkah laku rakan sekutunya yang begitu rakus dan gila kuasa.

Kini Umno yang sebelum ini berkeras tidak akan bekerjasama dengan DAP sama dibarisan kerajaan atau pembangkang, telah mencampak prinsip perjuangan parti itu.

Risikonya jika kerajaan perpaduan ini gagal Umno bakal berkubur.

Kini Datuk Seri Anwar Ibrahim baru beberapa hari mengangkat sumpah dan belum sempat menempa “name tag”, pemimpin DAP dan Umno sudah mula bergesel.

Isu pokoknya ialah untuk melantik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri yang pada masa yang sama masih berdepan pertuduhan kes salah guna kuasa dan penggubahan wang haram.

Di sini kebijaksanaan Anwar diperlukan bagi menyelesaikan dengan bijak. Isu ini pastinya memang sudah dijangka sejak awal. Bagaimanapun alang-alang seluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.

Dilemanya kini jika Zahid didapati bersalah apa akan jadi dengan jawatan disandang dan jika didapati tidak bersalah pula ia akan menyebabkan tuduhan liar kepada kerajaan termasuk campur tangan dalam sistem perundangan dan keadilan.

Satu lagi cabaran besar yang dihadapi Anwar ialah melantik menteri kabinet. Idea kerajaan perpaduan adalah melantik menteri berdasarkan merit dan keperluan.

Sejauhmana prinsip itu dapat dilaksanakan kerana selain yang menang, ahli parlimen yang tewas juga ligat melobi untuk menjadi senator dan seterusnya menteri.

Ketika ini mood rakyat masih lagi memberi ruang dan peluang kepada Anwar, tetapi mood itu akan cepat berubah apabila masuk tahun hadapan apabila keadaan ekonomi semakin buruk dan hidup seharian rakyat semakin terjejas.

Mungkin inilah peranan yang harus dilaksanakan selepas lebih dua dekad berjuang untuk menjadi perdana menteri. Tempoh itu bukan mudah. Anwar meringkuk dalam penjara 11 tahun. Lebih buruk beliau dan keluarga dimalukan dengan pertuduhan membabitkan moral dan salah guna kuasa.

Persoalannya kini kerajaan perpaduan memang solusi terbaik, tetapi mampukah Anwar memikul tugas berat itu ketika negara hampir terjerumus ke dalam kemelesetan ekonomi.

 

(Visited 199 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button