Nasionalpilihan

Pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan dilanjut tiga hari

Pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir kini dilanjutkan tempoh masa selama tiga hari bermula hari ini hingga Ahad dan bukan hanya pada Sabtu setiap
hujung minggu seperti sebelum ini.

Tinjauan mendapati kakitangan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah mula menyediakan besi penghadang dan kon bagi penutupan jalan bermula pada pukul 6.00 petang hingga 12.00 tengah malam bermula hari ini (Jumaat).

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, penutupan jalan tambahan selama dua hari bermula Jumaat dan Ahad adalah sebagai tempoh percubaan bagi melihat
aliran trafik sepanjang tempoh 54 jam.

Menurutnya, pelaksanaan zon berkenaan yang sebelum ini hanya pada Sabtu itu dilanjutkan selama tiga hari kerana mendapat maklum balas positif daripada pelancong dalam dan luar negara.

Beliau berkata, selain itu ia bertujuan bagi menjaga monumen bangunan sejarah di sekitar Banda Hilir daripada terjejas teruk ekoran kemasukan ribuan kenderaan
setiap kali cuti hujung minggu.

“Sejak pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan ini pada 19 Ogos lalu banyak maklum balas positif yang pihak kami terima, ada yang meminta untuk menambah bilangan hari.

“Kalau ditanya kepada pelancong yang datang ke kawasan ini rata-rata menyokong usaha ini kerana mereka seronok dapat berjalan dengan selamat serta meninjau di beberapa kawasan tumpuan pelancong.

“Ada juga peniaga yang menyambut baik pelaksanaan zon ini seperti peniaga cendol, air kelapa di hadapan Bangunan Merah tetapi ada juga peniaga di Medan Samudera yang tidak menyokong,” ujarnya di sini hari ini.

Shadan berkata, pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan itu adalah untuk tempoh percubaan dan belum ditetapkan tarikhnya sampai bila.

Sehubungan itu beliau meminta orang ramai untuk merancang lebih awal perjalanan sewaktu memasuki kawasan Banda Hilir.

Penutupan jalan sejauh kira-kira 2.3 kilometer melibatkan Jalan Istana, Jalan Mahkamah, Jalan Gereja, Lorong Gereja, Jalan Laksamana, sebahagian Jalan Tun Khalil Yaakob, Jalan Parameswara, Jalan Kota dan Jalan Istana. – SM

 

(Visited 428 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button