Nasional

Kerajaan akan perkenal dua pelan hala tuju tenaga mapan – PM Anwar

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperkenalkan dua pelan hala tuju baharu menjelang separuh kedua tahun ini ke arah memastikan negara mencapai keselamatan tenaga mapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu merupakan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR).

“Untuk pelaksanaan dasar ini dengan jayanya serta meraih manfaat sepenuhnya daripada kemajuan sosioekonomi yang baik untuk negara, kerajaan sedang membangunkan lagi beberapa pelan hala tuju strategik.

“Paling penting ialah NETR bakal menggariskan strategi menyeluruh dan inisiatif berimpak tinggi untuk mempercepatkan usaha peralihan tenaga.

“Manakala, HETR akan membuka jalan kepada pencapaian keselamatan tenaga jangka panjang.” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Persidangan Asia Tenaga 2023 ‘Energy Asia 2023: Charting Pathways for a Sustainable Asia’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

Program tiga hari anjuran Petronas itu berlangsung bermula Isnin hingga Rabu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Mengangkat tema Membina Laluan ke Arah Asia Lestari, acara itu dijangka menarik lebih 2,000 delegasi dari seluruh dunia.

Ia termasuk pemimpin Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA), Persatuan Pengeluar Minyak dan Gas Antarabangsa (IOGP), serta pegawai dan pemimpin pelbagai industri dan negara.

(Visited 55 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button