Nasional

Masjid Kampung Surau Utan Aji’ diubah kepada “Masjid Uthman Bin Al-Affan

Nama asal ‘Masjid Kampung Surau Utan Aji’ diubah kepada “Masjid Uthman Bin Al-Affan, Kampung Surau, Utan Aji” berkuatkuasa serta merta.

Demikian diisytiharkan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama lslam dan Adat lstiadat Melayu Perlis (MAlPs) di masjid berkenaan.

Berangkat sama ialah anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Menurut Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs), Dr Hazman Hassan yang mengiringi baginda, keputusan pertukaran nama ini telah disokong dan disahkan oleh Mesyuarat MAIPs yang dipengerusikan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra sendiri sebelum ini dan telah memperoleh limpah perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Jelas Dr Hazman, ‘Pengorbanan dan perjuangan Khalifah Uthman Bin Al-Affan diabadikan pada nama masjid berkenaan. Khalifah Rasyidin ketiga ini merupakan bangsawan dan hartawan Quraisy, menjadi antara individu terawal memeluk Islam. Bahkan beliau juga dianggap tokoh pertama mempelopori projek pembukuan kitab Al-Quran selepas sempurna diwahyukan, sehingga digelar sebagai “Mushaf Uthmani” bersempena nama beliau’.

‘Beliau turut mendapat penghormatan untuk memperisterikan bukan satu tetapi dua orang puteri Rasulullah iaitu Ruqayyah dan Ummu Kalthum sehingga digelar “Dzun Nurain” yang bermaksud ‘dia yang memiliki dua cahaya (dua puteri Nabi)’.

‘Penukaran nama masjid ini merupakan sebahagian inisiatif MAIPs untuk memperkukuhkan jati diri negeri Perlis sebagai bumi Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagaimana yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis 1948’ terang Dr Hazman.

Perlis sebagai Negeri Ahli Sunnah Wal Jamaah berpegang teguh dengan petunjuk Nabi Muhammad SAW bahawa para sahabat baginda seperti Khalifah Uthman merupakan sebaik-baik umat Islam selepas baginda, wajib mengikuti jalan para sahabat, meyakini keadilan mereka, redha dan mendoakan mereka, namun tidak melampau dalam mengagungkan mereka.

Sebelum majlis simbolik penyerahan surat pengisytiharan yang disaksikan oleh Tuanku Raja Muda itu disempurnakan, telah dilaksanakan juga ceramah bertajuk ‘Rakyat Perlis Benci Najis Dadah’ yang disampaikan oleh wakil daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri.

Di akhir majlis yang disekalikan dengan Program Hijrah Minda MAIPs Bilangan Ke 29 bagi tahun 2020 itu, 10 orang asnaf terpilih dari kalangan anak kariah masjid tersebut menerima sumbangan agihan zakat MAIPs daripada baginda. Turut diadakan ialah promosi pengambilan pelajar Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang bernaung di bawah MAIPs dan promosi bagi merekrut anggota pasukan sukarela Rejimen 504 Askar Wataniah (R504AW) Tentera Darat Malaysia.

(Visited 660 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button