Nasional

RM393 bilion untuk tadbir perubahan iklim secara berfasa

KERAJAAN Persekutuan menyediakan peruntukan RM393 bilion untuk memperkasa tadbir urus adaptasi perubahan iklim dengan tempoh pelaksanaan secara berfasa selama 50 tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, RM15 bilion diperuntukkan untuk pelaksanaan projek tebatan banjir mulai tahun 2023 sehingga 2030.

“Saya juga telah mengarahkan Kementerian dan agensi terbabit meningkatkan penggunaan sumber air bawah tanah dan air hujan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap air terawat termasuk bagi kegunaan di kawasan pedalaman, pengairan tanaman serta sistem kumbahan,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Keempat Majlis Air Negara (MAN) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Perdana Menteri dalam kenyataannya berkata, penggunaan sumber air alternatif yang murah dan mudah didapati perlu diambil kira dalam pembangunan infrastruktur serta bangunan baru sepertimana yang telah dilaksanakan di kebanyakan negara bagi menjimatkan kos penggunaan air terawat.

Katanya, penggunaan air bawah tanah di Malaysia ketika ini dilaporkan kurang daripada tiga peratus berbanding dengan negara lain walaupun negara mempunyai sumber air bawah tanah berkapasiti 5,000 bilion meter padu.

Katanya, Kerajaan juga bercadang untuk membina lebih banyak ‘struktur sabo’ di seluruh negara dalam usaha untuk mengurangkan risiko banjir puing seperti mana yang berlaku di Baling, Kedah baru-baru ini.

Tambah beliau, struktur sabo dibina merentasi alur sungai, berfungsi menahan puing termasuk bongkah batuan, lumpur dan kayu-kayan sekali gus memperlahankan aliran air serta mengurangkan impak yang dibawa arus deras terutamanya selepas hujan lebat.

“Setakat ini struktur sabo sedang dibina di Yan, Kedah dan bakal dibina di Baling serta Janda Baik, Pahang dalam tempoh terdekat,” jelas beliau.

Ismail Sabri berkata, mesyuarat pada hari ini juga telah mempertimbang dan bersetuju dengan tiga kertas pertimbangan iaitu Transformasi Sektor Air 2040 (Water Sector Transformation 2040 – WST 2040), Pengiktirafan Perkhidmatan Makmal Kualiti Air, Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) dan Perkongsian Peta Hazard Banjir (Flood Hazard Map).

“Pelan transformasi ini akan dilaksanakan di pelbagai peringkat melalui Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan WST2040.

“Agenda Transformasi Sektor Air 2040 menzahirkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan sektor air negara bagi menjamin sekuriti dan kelestarian air selain menjadikan sektor air sebagai pemangkin ekonomi negara,” jelasnya.

Kata Ismail Sabri, Pengiktirafan Perkhidmatan Makmal Kualiti Air, Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) sebagai Makmal Forensik Penyelidikan Air; Makmal Kualiti Air (MKA) di NAHRIM akan berfungsi sebagai pusat rujukan dalam menyelidik kejadian pencemaran badan air.

“Makmal ini yang telah mendapat akreditasi MS ISO: IEC 17025 boleh menjadi alternatif kepada makmal Jabatan Kimia bagi forensik penyelidikan pencemaran air,” katanya.

Beliau berkata, Perkongsian Peta Hazard Banjir (Flood Hazard Map) kepada Awam Maklumat peta hazard banjir menunjukkan kawasan kebarangkalian yang boleh dinaiki air berdasarkan peta guna tanah semasa dan akan datang.

“Amalan perkongsian peta hazard banjir turut dilaksanakan oleh negara lain seperti Amerika dan United Kingdom.

“Perkongsian peta ini membantu pihak berkepentingan dalam perancangan pembangunan seperti Rancangan Tempatan Daerah atau Rancangan Struktur Negeri serta perancangan pengurusan bencana banjir,” katanya.

MAN adalah platform penting bagi penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri bagi menetapkan dasar, hala tuju dan pendekatan berhubung dengan pengurusan dan pembangunan air negara.

Selaras dengan aspirasi ‘Keluarga Malaysia Lestari’, Kerajaan Persekutuan bersama-sama kerajaan negeri dan pihak-pihak berkepentingan lain akan terus bekerjasama bagi memastikan keupayaan negara dalam menangani isu pengurusan air negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia, katanya. – SM

(Visited 120 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button