Hiburan

Kenapa lagu Terakhir Buat Teman begitu menyedihkan?

TERSENTUH rasa jiwa bila mendengar lagu Terakhir Buat Teman yang didendangkan oleh Siti Sarah dan Hazama.

Sebenarnya, bukan irama atau lirik itu sahaja yang begitu menyentuh perasaan, tetapi kisah disebalik lagu tersebut juga benar-benar menghibakan.

Lagu Terakhir Buat Teman yang liriknya ditulis oleh Iman Imran adalah lagu yang dicipta oleh Allahyarham Lok U bersama dengan Allahyarham Aji.

Lagu tersebut sebenarnya diciptakan kedua-dua anak seni itu untuk ditujukan kepada Allahyarham Kelly yang terlebih dahulu meninggal dunia pada 4 Mei tahun lalu.

Belum sempat lagu tersebut disiapkan, Aji atau nama sebenarnya Fauzi Samin pula meninggal dunia kira-kira empat bulan selepas itu iaitu pada 5 September tahun lalu.

Tidak mahu lagu tersebut hilang begitu sahaja, Lok U atau nama sebenarnya, Faizal Uzir mengumpulan kekuatan untuk menyiapkan lagu tersebut.

Namun, janji Allah itu pasti, Lok U pula meninggal dunia kira-kira lima bulan selepas itu iaitu pada 22 Januari lalu.

Justeru itu, Indigital Music bersama beberapa pemuzik lain memainkan peranan menyiapkan lagu ini atas dasar ingin meneruskan niat Allahyarham.

Lagu tersebut akhirnya berjaya disiapkan dan didendangkan oleh Siti Sarah serta Hazama.

Siti Sarah mengakui bukan senang untuk menyanyikan lagu tersebut sehingga dia sendiri menitiskan air mata sewaktu bercerita mengenai lagu itu.

“Saya kalau ada sebarang masalah melibatkan nyanyian, memang saya akan bertanya kepada Lok U. Sebab itu saya sangat terasa dengan kehilangannya.

“Sebab itu juga lagu ini begitu sebak untuk saya nyanyikan kerana rasa sedih itu begitu mendalam,” katanya.

Sementara itu, Hazama pula memberitahu yang dia sempat bergurau dengan Lok U untuk menyanyikan lagi yang diciptanya.

Malah, Lok U sempat memberi Hazama mendengar lagu yang diciptakan oleh Kelly dan Aji sebelum itu.

“Dulu saya pernah cakap pada dia nak nyanyikan lagu yang diciptanya. Malah, Lok U juga sempat memperdengarkan lagu yang dicipta Kelly dan Aji sebelum dia meninggal dunia.

“Ketika itu secara spontan saya beritahu ingin menyanyikan lagu tersebut dan Alhamdulillah, akhirnya saya sempat juga merasa menyanyikan lagu yang mendapat sentuhan Lok U,” katanya.

Lagu Terakhir Buat Teman sudah boleh ditonton di saluran YouTube Indigital Music. -SM

(Visited 2,418 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button