Hiburan

Meerqeen tak mahu terus selesa dalam dunia lakonan

WALAUPUN pun tampil dengan single terbaharu berjudul Menunggu, Meerqeen, 20, tetap mahu mengutamakan kerjaya lakonannya berbanding seni suara.

Malah, selebriti muda ini menganggap nyanyian sebagai cabaran baharu kepadanya untuk menguji kemampuan dri sendiri.

“Saya masih baharu dalam dunia seni dan saya tidak mahu terus selesa dengan dunia lakonan sebaliknya mencari cabaran baharu buat diri sendiri.

“Buat masa ini, saya mahu menunggu maklum balas daripada pendengar terhadap lagu ini. Jika ada rezeki, Insya-Allah saya akan terus merakamkan lagu lain tetapi fokus utama tetap kepada bidang lakonan,” katanya yang baharu sahaja keluar dengan filem Klaster di saluran Netflix.

Mempertaruhkan lagu Menunggu yang menjadi hadiah pertamanya kepada peminat, sudah pasti membuatkan dia berdebar menantikan reaksi semua.

Pun begitu, apa sahaja maklum balas yang bakal diberikan akan diterima dengan hati yang terbuka.

“Memang saya gembira dalam masa yang sama gugup memperdengarkan Menunggu kepada semua. Lagu ini saya anggap sebagai kejutan kepada peminat yang sentiasa menyokong kerjaya seni sejak awal pembabitan dalam bidang ini.

“Harapnya semua akan menerima lagu ini dan itu akan memberikan semangat kepada saya,” katanya yang dicungkil bakat menerusi pertandingan Hero Remaja 2020.

Diperdengarkan secara rasmi 1 Oktober lalu, Menunggu merupakan lagu hasil ciptaan komposer muda, Aliff Iskandar, 21.

Jelasnya saat mendengarkan lagu ini buat kali pertama, ada sesuatu yang menarik perhatiannya sehingga bersetuju untuk merakamkan lagu ini.

Menggunakan khidmat Rudy Nastia sebagai penerbit dan Bob Yusof sebagai pengarah vokal, Meerqeen menganggap ini merupakan kerjasama yang baik saat merakamkan lagu ini bulan Mei yang lalu.

“Saya percaya sesiapa sahaja mampu melakukan apa sahaja asalkan ada kemahuan dan keyakinan. Bidang nyanyian benda baharu dan memang membuatkan saya risau pada peringkat awal.

Tapi apabila semua proses sudah dilalui, ia memberikan pengalaman yang tidak ternilai kepada saya.

“Sudah tentu sokongan orang sekeliling membuatkan saya bersemangat merakamkan Menunggu,” katanya yang popular dengan drama Angkara Cinta dan Senorita.

Bercerita mengenai pengalamannya pula, Meerqeen menjelaskan dia beruntung dapat bekerjasama dengan Aliff yang juga merupakan seorang komposer muda.

Mempercayai usia bukanlah penghalang untuk menghasilkan karya yang baik, mereka serasi bekerjasama sejak dari awal lagi.

Begitu juga dengan Bob yang sangat teliti dalam menjaga vokal. Penyanyi itu bukan sahaja mengajarnya banyak ilmu baharu tetapi memberikan garis panduan yang betul sepanjang proses rakaman berlangsung di Studio MixBro milik Rudy.

Menunggu merupakan kerjasama antara Indigital Music dan Civicas Network Sdn Bhd. Lagu ini sudah boleh distrim melalui semua platform digital dan lirik video pula boleh ditonton melalui YouTube Indigital Music. -SM

(Visited 638 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button