Nasional

Kelestarian kewangan sasaran UniMAP

Keperluan menjana pendapatan sendiri universiti melalui usaha berasaskan kepakaran penyelidikan dan konsultasi, serta mendapatkan pendanaan adalah salah satu daripada keutamaan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Malahan, kelestarian kewangan ialah salah satu daripada kluster Pelan Strategik UniMAP 2025.

Semua Pusat Tanggungjawab universiti bertungkus-lumus menjalankan pelbagai inisiatif dan aktiviti untuk menjana kewangan melalui fasilitasi One Stop Centre (OSC) termasuk caj kemudahan dan makmal-makmal yang sedia.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan menerima kunjungan sembah mengadap oleh Pengarah Urusan Walta Centre Of Excellence (WCOE) Goh Kheng Sneah di Bilik Tuanku Canselor Kampus Jejawi UniMAP baru-baru ini.

Hadir sama, Penasihat WCOE, Datuk Prof Emeritus Ir Dr Ts Hj Kamarudin Hussin.

Dalam pada itu, Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Tuanku Canselor UniMAP menambah bahawa melalui Wakaf dan Endowmen, UniMAP telah berjaya memperoleh sejumlah sekitar RM4.5 juta, termasuk wakaf tunai, wakaf untuk mesin penapis air, dan wakaf untuk pembangunan Masjid dan Kompleks Pusat Islam; sementara tabung endowmen yang berkenaan ialah Endowmen Penyelidikan KTPC ,Tabung Endowmen Trust Fund BSN, dan Tabung Endowmen Keusahawanan Pelajar.

UniMAP juga telah menerima dana keusahawanan untuk Program Keusahawanan Pelajar sejumlah RM579,174.00. UniMAP telah melancarkan Program Keusahawanan Social Innovation for Poverty Eradication @ MYHE (Aquapreneurs), yang melibatkan pelajar-pelajar B40 mengendalikan projek aquaculture menggunakan teknologi hasilan daripada penyelidik UniMAP iaitu ARAS BM600 melalui ternakan ikan jade perch. Keuntungan sebanyak RM38,676.00 telah diperolehi setelah hampir setahun projek dilaksanakan.

Untuk rekod, Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyaksikan pemeteraian ‘Memorandum Persefahaman’ antara WCOE dengan syarikat ditubuhkan UniMAP, Haas Solutions Sdn. Bhd pada bulan lalu. WCOE turut mengadakan perjanjian persefahaman berasingan dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di majlis yang sama di Penang Automation Cluster (PAC) Batu Kawan Pulau Pinang. – SM

(Visited 252 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button