NegeriPendidikanRencah Hidup

2,048 mahasiswa UniMAP bertuah bertemu Raja Muda, Raja Puan Muda

SEBANYAK 2,048 mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bertuah apabila berpeluang bersua muka dengan Canselor, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Pro Canselor, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil sempena Majlis Minggu Suai Kenal (MSK) Ijazah Sarjana Muda Sidang Akademik 2023/2024 serta Majlis Apresiasi dan Kebudayaan UniMAP, semalam.

Majlis ini diadakan di Dewan Harumanis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Pauh Putra kerana Dewan Ilmu UniMAP sedang dalam kerja-kerja penambahbaikan sebagai persiapan untuk Istiadat Konvokesyen pada November depan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen berkenan bergambar dengan para pelajar sempena Majlis Minggu Suai Kenal (MSK) Ijazah Sarjana Muda Sidang Akademik 2023/2024 serta Majlis Apresiasi dan Kebudayaan UniMAP, semalam.

Seramai 800 pelajar baharu lagi dijangka akan melaporkan diri di UniMAP dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Naib Canselor, Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Ir. Dr. Mohd Shukry Abdul Majid dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah.

Tuanku Syed Faizuddin Putra semasa bertitah, menasihatkan para mahasiswa supaya melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti bukan akademik anjuran universiti.

Titah Baginda, penglibatan aktif ini akan dapat menambah kemahiran insaniah masing-masing selain meningkatkan prestasi dalam bidang akademik.

“Aktiviti-aktiviti yang dianjurkan di universiti direka khusus bagi membentuk mahasiswa yang seimbang dalam aspek jasmani dan emosi, serta rohani dan juga intelek,” titah Baginda.

Malah titah Baginda, ianya akan menggalakkan perkembangan bakat, sifat kreativiti selain melonjak potensi mahasiswa ke tahap yang maksimum.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyaksikan majlis penyerahan secara simbolik ‘Kad My Siswa XOX’ oleh Mohammad Khatab (kanan) kepada Zaliman.

Tambah Baginda, dengan menyertai aktiviti-aktiviti ini akan dapat mengurangkan tekanan dan menyeimbangkan kehidupan mahasiswa terutamanya para pelajar yang tinggal jauh daripada keluarga tersayang dan juga kepada mereka yang mempunyai jadual kelas yang padat.

Raja Muda menzahirkan ucapan tahniah dan syabas di atas kejayaan mahasiswa yang telah menempatkan diri di institusi pendidikan tinggi awam ini.

Baginda berharap agar para pelajar yang terpilih ini memanfaatkan peluang keemasan ini dengan belajar bersungguh-sungguh dan mendapat keputusan yang cemerlang pada setiap semester di samping menjaga keselamatan diri serta nama baik masing-masing ketika berada di Perlis.

Baginda bertitah, mereka juga perlu sentiasa mematuhi dan tidak melanggar batasan agama, undang-undang, serta adab.

Sementara itu, majlis ini dimeriahkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan oleh para pelajar baru antaranya seperti Tarian Endang dan Sutramaya, Koir (Dinda & Believer) dari Kelab Koir, Tarian Hadrah dan Puisi (Puteri Gunung Ledang).

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyaksikan majlis penyerahan secara simbolik ‘Kad My Siswa XOX’ oleh Naib Presiden Kanan Jualan dan Pemasaran ONE XOX Sdn Bhd, Mohammad Khatab Mahvi kepada Naib Canselor UniMAP.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen berkenan “berselfie” dengan para pelajar sempena Majlis Minggu Suai Kenal (MSK) Ijazah Sarjana Muda Sidang Akademik 2023/2024 serta Majlis Apresiasi dan Kebudayaan UniMAP, semalam.

Kad My Siswa XOX ini merupakan kerjasama antara Kementerian Pengajian Tinggi, XOX, ONEXOX dan VMR Three Sdn Bhd (VMR3) bertujuan meningkatkan pembangunan bakat dan kreativiti dalam diri pelajar, terutamanya melalui aktiviti yang memerlukan penggunaan internet dan data tinggi, pada harga yang rendah.

UniMAP akan menjadi antara universiti awam terawal yang bakal menikmati program MySISWA yang bukan sahaja menawarkan pek SIM istimewa kepada para pelajar dalam fasa pertama ini, tetapi juga gaya hidup berteknologi tinggi melalui keseluruhan ekologinya merangkumi “Smart Vending Machine”, platform e-Commerce tersendiri dan lain-lain dalam fasa berikutnya. – SM

BACA UniMAP terus kerja keras tawar kursus menarik-Raja Muda Perlis

BACA Mahasiswa UniMAP sentiasa dilatih untuk berdaya saing – Raja Muda

(Visited 91 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button