Nasional

Kelantan akan terima vaksin CanSino bulan depan

Kelantan dijangka menerima vaksin Covid-19 jenis CanSino bulan depan, dengan sebahagian besarnya diperuntukkan kepada penduduk Orang Asli di pedalaman Gua Musang dan Kuala Krai.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, jumlah sebenar bekalan vaksin tersebut akan diumumkan kemudian.

“Vaksin jenis CanSino hanya perlu diberikan satu dos sahaja dan ini bersesuaian dengan lokasi di pedalaman kerana petugas tidak perlu masuk dua kali untuk memberi suntikan kepada penerima.

“Bulan depan kita akan hantar bekalan vaksin CanSino kepada Kelantan khususnya untuk penerima Orang Asli di Gua Musang dan Kuala Krai,” katanya dalam sidang akhbar lapor Utusan Malaysia.

Terdahulu, beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menghadiri mesyuarat Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) Peringkat Kebangsaan dan Negeri yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Beliau dalam pada itu berkata, setakat ini, kira-kira 58 peratus rakyat Kelantan belum mendaftarkan diri dengan PICK dan berdasarkan perkembangan semasa, 1.2 juta rakyat Kelantan yang layak dijangka selesai menerima vaksin menjelang Oktober ini.

“Secara purata, sekarang seramai 12,000 individu menerima suntikan vaksin setiap hari.

“Pada bulan depan kita akan membekalkan kira-kira 550,000 dos vaksin bagi membolehkan Kelantan meningkatkan kadar suntikan kepada penerima sehingga sekurang-kurangnya 30,000 sehari,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, lima lagi PPV bakal dibuka di Kota Bharu, Bachok, Machang dan Kuala Krai bagi melancarkan pemberian vaksin kepada penerima di seluruh negeri ini.

(Visited 71 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button